Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib semasa sidang media di Lahad Datu hari ini mengatakan Malaysia akan memastikan ketua pengganas Sulu, Azimuddie Kiram dihadapkan ke muka pengadilan untuk bertanggungjawab ke atas perbuatannya.

Menurut beliau kerjasama di antara kerajaan Malaysia dan Filipina akan dapat memastikan Azimuddie dihadapkan ke mahkamah jika dia ditangkap.

Pada sidang media yang sama, Hamza menegaskan bahawa pasukan keselamatan perlu memastikan kawasan penduduk betul-betul selamat sebelum membenarkan mereka kembali ke rumah masing-masing.

Ini kerana kawasan tersebut dikhuatiri terdapat jerangkap ditinggalkan musuh serta kesan serangan yang dilakukan pihak keselamatan.

Sementara itu anggota keselamatan hari ini telah menahan seorang lelaki yang dipercayai pengganas Sulu di kawasan Felda Sahabat 17.

Menurut Hamza, suspek ditahan pada pukul 6.30 pagi ketika pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi dan suspek telah dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

Operasi ‘mopping-out’ atau penggeledahan masih lagi diteruskan dan kawasan operasi telah bertumpu di kawasan Tanjung Batu.

Selain dari pemeriksaan rumah ke rumah, pasukan keselamatan juga menumpukan usaha penggeledahan di kawasan ladang kelapa sawit dan hutan belukar.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini menyatakan satu mesyuarat berhubung kawasan yang dipanggil Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) akan diadakan segera bagi membincangkan perkara berhubung penubuhan kawasan keselamatan khas Sabah.

Ini berikutan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai penubuhan ESSCOM untuk menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

Berhubung dakwaan terdapat tokoh pembangkang di Filipina membiayai keluarga Jamalul Kiram III untuk menceroboh Lahad Datu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik untuk mendapatkan maklumat daripada kerajaan Filipina.

Beliau turut menyatakan bahawa beliau ada membaca kenyataan setiausaha pertahanan Filipina, Voltaire T Gazmin yang menyatakan kerajaan Filipina telah menemui beberapa bukti berhubung insiden itu.

Dalam satu kenyataan di Perak, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan media Filipina kononnya disekat daripada mendapat gambaran sebenar Operasi Daulat di Lahat Datu.

Menurut beliau, kerajaan akan berbincang bagi membenarkan diplomat Filipina di negara ini melawat suspek pengganas Sulu yang ditahan.