KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa beberapa ikhtiar penting demi meringankan beban rakyat serta memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.
Dalam satu hantaran di media sosial, Anwar berkata pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan Amanat Hari Malaysia sempena sambutan rasmi Hari Malaysia di Kuching.
"Antaranya termasuk hak pemberian khas untuk negeri Sarawak, penambahbaikan ikhtiar BUDI Diesel untuk rakyat serta Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan secara sekali beri (one-off) kepada setiap pelajar baharu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang layak.
"Ikhtiar ini turut memaknai semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai waad nasional yang mesti terus diterjemahkan melalui penghormatan terhadap hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan," kata Anwar.
Tambah Perdana Menteri, beliau dan seluruh pasukan Kerajaan MADANI akan terus bekerja keras memastikan setiap kemajuan negara diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai rakyat, agar Sabah, Sarawak dan Semenanjung terus melangkah bersama menuju kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah.
Turut hadir dalam sambutan rasmi di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.