KUALA LUMPUR: Terlalu banyak perkara yang telah dijanjikan kepada orang Sabah dan Sarawak, sewaktu perbincangan mengenai pembentukan negara Malaysia sekitar 58 tahun lepas, tetapi tidak dilaksanakan sehingga ke hari ini.

Menggelarkan perkara itu sebagai ‘historical grievances’, Profesor Pusat Pengajian Asia, University Tasmania, James Chin berkata, ‘kegagalan’, atau kelewatan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu tersebut, menyebabkan rakyat di Sabah dan Sarawak merasakan mereka tidak mendapat hak yang sewajarnya.

Selain itu, Chin berkata, perasaan tidak puas hati itu, diburukkan lagi dengan keadaan politik negara pasca Pilihan Raya Umum 2008, apabila Barisan Nasional (BN) terpaksa bergantung kepada Ahli-ahli Parlimen dari dua negeri berkenaan, selepas mereka hampir tumbang kepada pembangkang.

“Bukan sahaja orang Sabah dan Sarawak merasa ditinggalkan dari pembangunan negara, yang lebih memburukkan keadaan apabila sumber kewangan negara yang diambil dari dua negeri ini, digunakan untuk memajukan Semenanjung.

“Sebagai contoh, lebuh raya yang menghubungkan Utara dan Selatan Semenanjung siap pada tahun 80an. Tetapi lebuhr aya yang menghubungkan Sabah dan Sarawak (Pan Borneo), berkemungkinan hanya akan siap dalam tempoh tiga tahun akan datang. Perbezaan hampir 30 tahun.

“Malah kalau anda lihat landskap pembangunan, atau perkara mudah seperti infrastruktur asas, masih ketinggalan 10 hingga 15 tahun berbanding Semenanjung,” katanya ketika menjadi panelis Forum Dinamika Politik di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung, bersempena Hari Malaysia Ke-58, pada malam Khamis.

Forum yang dilakukan secara maya itu merupakan anjuran Taylor’s School of Liberal Arts and Sciences, dan dikendalikan oleh Pengarah Inovasi Sosial dan Perubahan (SLAS) Taylor's University, Anas Zubedy, yang juga Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd.

Dua lagi panelis ialah Editor Star Online, Philip Golingai, dan Timbalan Pengarah Institusi Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysias, Prof Kartini Aboo Talib @ Khalid.

Menyentuh mengenai isu yang sama, Golingai berkata, laporan dan kajian pakar akademik telah menunjukkan bagaimana demografi dan sosio-politik Sabah ditukar dengan drastik, melalui cara pemberian kad pengenalan kepada warga asing, yang didakwa bermula seawal 70an lagi.

“Ada sebilangan besar golongan pengundi, yang kami gelarkan sebagai ‘photocopy Sabahan’. Kebanyakan mereka merupakan warga asing…dengan sebahagian mereka mendapatkan kad pengenalan yang sah, manakala sebahagian lagi dengan cara yang meragukan,” katanya lagi.

Golingai berkata, gerakan menukar demografi dan sosio-politik Sabah demi kepentingan pihak tertentu, akhirnya menjadi sesuatu yang dipendam oleh rakyat asal Sabah sejak sekian lama.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Perutusan Khas sempena Sambutan Hari Malaysia di Sabah pada Khamis memaklumkan, Kerajaan akan memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, Kerajaan akan memperhalusi perkara-perkara yang perlu diselesaikan melalui rundingan menerusi Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63) yang dipengerusikan beliau sendiri.

Selain itu Perdana Menteri berkata, RM4.66 bilion diperuntukkan bagi negeri Sabah, manakala RM4.47 bilion bagi negeri Sarawak melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan hasrat melihat kemakmuran negara dikongsi bersama.

BACA: RM9.13 bilion diperuntukkan untuk Sabah dan Sarawak – PM 

BACA: Kerajaan beri perhatian isu berkaitan Sabah dan Sarawak – PM 

Dalam pada itu, Kartini berkata, MA63 yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik oleh Kerajaan dan Pakatan Harapan perlu melihat kembali 20 Perkara Sabah dan 18 Perkara Sarawak.

“Menuju ke hadapan, kedua-dua pihak harus membincangkan kembali semangat di sebalik penubuhan Malaysia, mencapai konsensus yang lebih komprehensif, cara-cara untuk menyelesaikan peminggiran Orang Asal, dan juga isu pendatang asing,” katanya lagi.