MELAKA: Cabaran yang dihadapi negara datang dari segenap aspek termasuk ekonomi, politik dan sosial.

Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, nilai-nilai Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran harus terus dipegang bagi membina kekuatan dalam menghadapi cabaran dan gelombang arus globalisasi.

"Memupuk perpaduan latar belakang agama kaum budaya dan taraf sosio ekonomi merupakan agenda besar lagi penting demi kelangsungan sebuah negara yang aman stabil harmoni dan sejahtera.

"Justeru nilai-nilai Keluarga Malaysia yang berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran adalah ramuan penting dalam usaha membina kekuatan seluruh Keluarga Malaysia agar terus kalis cabaran dalam menghadapi gelombang-gelombang dan arus globalisasi.

"Nilai kebersamaan dan kesyukuran ini juga adalah antara jaminan kepada kelangsungan untuk Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang stabil, harmoni dan sejahtera dengan bersendikan konsep tasamuh yang digariskan oleh Islam, iaitu hidup saling bertoleransi harmoni dan selesa, menjauhi diri dari sifat prasangka serta curiga.

"Segala perbezaan yang dan kepelbagaian yang dikurniakan di bumi bertuah ini mampu diraih dan dihargai oleh keluarga Malaysia dengan hati yang terbuka. Malaysia dibentuk dan dibangunkan dengan memberikan jaminan keadilan perlindungan dan hak kepada setiap Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum," katanya ketika menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak seperti mana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 akan terus dipelihara, selain berikrar akan memberi penekanan kepada usaha menghapuskan jurang pembangunan antara dua negeri itu dan negeri-negeri di Semenanjung.

BACA: PM Ismail Sabri pastikan hak Sabah, Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 terpelihara

"Saya sebagai Pengerusi Majlis Khas Perjanjian Malaysia akan memastikan hak-hak Sabah dan Sarawak di mana yang terkandung dalam Perjanjian MA63 adalah terpelihara.

"Majlis khas ini bukan sahaja berperanan merungkai beberapa isu yang tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak tetapi juga memberi penekanan kepada usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri.

"Umpama peribahasa, bersukat sama paras bertimbang sama berat, kerajaan mahu melihat Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat seperti negeri-negeri lain di Semenanjung.

"Kerajaan komited menghapuskan jurang pembangunan dan ini dibuktikan dengan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk Sabah manakala RM4 bilion untuk Sarawak pada tahun ini bagi melaksanakan projek pembangunan seperti bekalan air elektrik dan jalan raya serta pendidikan," ujarnya lagi.