Rumah Hijau di Muzium Kota Kayang usaha melestari sejarah dan warisan Perlis

Tuanku Syed Sirajuddin berkenan bergambar kenangan di hadapan Rumah Hijau, iaitu Rumah Keputeraan Baginda pada Fiesta Uniti dan Rumah Hijau di Muzium Kota Kayang, Kuala Perlis pada Sabtu. Turut berangkat Tengku Fauziah. - Gambar Bernama
KANGAR: Rumah Hijau, rumah keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, yang terletak di kawasan Muzium Kota Kayang, Kuala Perlis dekat sini menjadi antara daya tarikan baharu pelancong berikutan keunikan seni bina dan nilai sejarah yang tinggi.
Rumah tradisional berusia lebih 100 tahun itu, telah dipindahkan dari lokasi asal di Arau ke muzium itu dengan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan struktur binaannya terus dipelihara dan dimanfaatkan sebagai galeri pameran dalam usaha melestari sejarah serta warisan Perlis.
Pengarah Muzium Kota Kayang, Siti Munirah Kasim berkata, Rumah Hijau itu bukan sekadar simbol warisan tetapi berfungsi sebagai medium pembelajaran masyarakat untuk mengenali lebih dekat kehidupan kerabat diraja Perlis sekali gus budaya masyarakat Melayu Perlis pada masa lampau.
"Rumah Hijau yang mula beroperasi hari ini akan menjadi lokasi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri yang ingin merasai pengalaman menjejak warisan seni bina serta suasana rumah tradisional Melayu Perlis.
"Struktur kayu asal masih dikekalkan dan ruang dalaman rumah itu diisi dengan pelbagai barangan lama berkaitan kerabat diraja Perlis bagi menampilkan suasana sebenar rumah tradisional masyarakat dahulu," katanya kepada Bernama pada Sabtu.
Terdahulu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenaan berangkat merasmikan Fiesta Uniti @ Muzium Kota Kayang dan Rumah Hijau di Muzium Kota, di sini, semalam.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Hadir sama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Mengulas lanjut, Siti Munirah berkata, inisiatif membawa Rumah Hijau ke kawasan muzium itu turut melengkapkan fungsi institusi tersebut sebagai pusat warisan yang menghubungkan masyarakat dengan sejarah dan budaya negeri.
"Kami mahu muzium ini bukan sekadar tempat pameran tetapi ruang interaksi masyarakat untuk mereka belajar, berkongsi dan menyumbang kepada kelestarian warisan," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan semua pihak berkemampuan termasuk filantrofis menjadikan Rumah Hijau sebagai 'galeri angkat' dengan membantu dari segi dana untuk pemuliharaan bagi mengekalkan sifat warisan dan tradisional rumah berkenaan.
"Rumah lama seperti ini menghadapi cabaran untuk dikekalkan dari segi kos penyelenggaraan yang tinggi kerana memerlukan penjagaan yang rapi, contohnya untuk memastikan cat pada rumah ini tidak pudar dan penyelenggaraan lain berkaitan.
"Pihak penderma yang menyumbang akan mendapat manfaat seperti pengecualian cukai dan diberikan sijil sebagai tanda penghargaan. Kita mahu masyarakat menjadi sebahagian daripada muzium bukan hanya datang melihat tetapi turut menjadi filantrofis warisan yang menyumbang kepakaran, koleksi dan dana bagi memastikan sejarah ini terus hidup," katanya.
Siti Munirah berkata, dengan keunikan Rumah Hijau dan pelbagai koleksi bersejarah yang dipamerkan, Muzium Kota Kayang yang merupakan satu-satunya muzium di Perlis akan kekal sebagai mercu tanda penting negeri dan destinasi pelancongan warisan yang wajar dikunjungi.
Sementara itu, beliau berkata, terdapat penduduk tempatan yang tampil menyumbang barangan seperti mesin tebu lama dan peralatan tradisional lain kepada muzium berkenaan sebagai tanda menghargai warisan keluarga mereka.
"Kadang-kadang masyarakat tidak mahu simpan barangan lama di rumah kerana tidak tahu cara penjagaan yang betul. Kami ada pakar konservasi yang boleh memastikan barangan itu kekal terpelihara.
"Zaman dahulu mereka beri tanpa minta balasan tetapi sekarang kita juga sediakan sijil dan pengecualian cukai kepada penderma sebagai tanda penghargaan," katanya.
Siti Munirah berkata, semangat masyarakat yang sudi menyumbang koleksi dan dana kepada muzium menunjukkan kesedaran tinggi tentang tanggungjawab bersama memelihara warisan negeri dan ia merupakan sebahagian kempen derma koleksi yang diinisiatifkan Jabatan Muzium Malaysia.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak berkemampuan untuk bersama-sama membantu dalam usaha memperkasa pemeliharaan dan pemuliharaan 22 muzium Persekutuan di seluruh negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


