KUALA LUMPUR: Malaysia tetap utuh sebagai sebuah negara yang aman, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong sebagai Payung Perpaduan Negara sejak pembentukannya pada 16 September 1963.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kisah perjalanan Malaysia tercinta penuh dengan lembaran yang berwarna-warni.

"Terbinanya sebuah negara bangsa yang disebut dengan bangga sebagai negara Malaysia, adalah hasil capaian kemerdekaan Tanah Melayu 64 tahun lalu, kemudiannya terbentuk Malaysia enam tahun kemudiannya bersama-sama Sabah dan Sarawak tercinta.

"Biarpun terpisah dengan luasnya Laut China Selatan, penyatuan bersama Sabah dan Sarawak telah membina satu negara bangsa yang berjaya dan berdaulat serta Keluarga Malaysia yang tinggal dengan semangat harmoni di dalamnya," katanya melalui muat naik di media sosial pada Khamis sempena Hari Malaysia.


 
Sumber Facebook ismailsabri60


Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bera itu berkata, menyeru rakyat Malaysia agar membulat tekad, memperkukuh keazaman dan membugar semangat perpaduan sebagai satu keluarga yang berjaya dan dihormati.

"Hari ini, Keluarga Malaysia ini diwarnai dengan warna-warni yang disatukan, dengan penghormatan dan rasa bangga untuk ibu pertiwi.

"Kepada Keluarga Malaysia yang amat saya sayangi, Selamat Hari Malaysia! Kata Perdana Menteri.