KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas peruntukan dana besar bagi menjadikan pasukan beruniform itu dilengkapi kemajuan teknologi terkini kepolisan moden.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, sehubungan itu pasukan PDRM harus sentiasa “sedia berkhidmat” dan berdiri teguh di bawah naungan panji Sang Saka Biru untuk memikul tanggungjawab dan amanah dalam memelihara keselamatan masyarakat dan keamanan negara.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim sempena sambutan peringkat IPK Kuala Lumpur.

Beliau berkata segala pengorbanan, jerih perih dan titisan darah pahlawan - pahlawan terdahulu, demi nikmat keamanan yang dikecapi kini - akan terus diperjuang dan diwariskan pula kepada generasi pelapis Sang Saka Biru akan datang.

"Dalam usaha memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan pasukan kerajaan dan KDN telah meluluskan perolehan aset dan peralatan seiring dengan kemajuan teknologi terkini kepolisan moden.

"Untuk itu PDRM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan dan KDN yang amat prihatin akan keperluan PDRM serta memperuntukkan dana yang besar untuk kebajikan, keselesaan dan kesejahteraan warga PDRM yang berkhidmat serta seisi keluarga dan para pesara polis.

"Di waktu sama, PDRM juga menzahirkan kesediaan untuk menghulurkan apa jua bentuk bantuan yang diperlukan demi mendukung dasar usaha kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat." 

Turut hadir, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Penyampaian sijil dan anugerah penghargaan turut diberi kepada warga Polis Kuala Lumpur.

Antaranya, anugerah integriti yang merupakan pengiktirafan kepada pegawai polis dan pegawai awam serta mereka akan dijadikan role model ikon integriti bagi warga Polis Kuala Lumpur secara amnya.

Turut diberikan penghargaan, petugas media dan orang awam yang menjadi mata dan telinga PDRM.