Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan mendedahkan bentuk ancaman yang diterima mengenai Hari Hak Asasi Manusia 2018.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, apa yang penting adalah mengenai keselamatan orang awam dan turut melibatkan keselamatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ancaman keselamatan kita tak boleh keluarkan, tapi yang penting keadaan orang awam mesti terkawal, jadi apa-apa nanti polis juga yang dipersalahkan. Isu keselamatan kita ambil serius.

BACA: Selepas tangguh, sambutan Hari Hak Asasi Manusia diadakan Ahad

"Kita dah nasihat pihak penganjur dan mereka patuh dan akan tunda pada Ahad. Ini ada kaitan dengan perhimpunan tolak ICERD, jika diadakan serentak boleh timbulkan isu keselamatan," jam,"katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Berkhatan Perdana anjuran PDRM di Masjid Bukit Aman di sini, hari ini.

Hari Hak Asasi Manusia 2018 dijadualkan berlangsung hari ini ditunda ke esok (Ahad) di Padang Timur, Petaling Jaya.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail dalam satu sidang media pada Jumaat, berkata walaupun kecewa pihaknya akur terhadap nasihat yang dikeluarkan oleh pihak polis dan Pejabat Perdana Menteri.