KUALA LUMPUR: Sambutan Hari TVET Negara bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi simbol pengiktirafan kerajaan terhadap pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) sebagai agenda nasional penting dalam membina masa depan ekonomi negara.
Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET), Azmir Mohd Yunus berkata sambutan itu turut berperanan mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET yang kini dilihat sebagai laluan kerjaya utama.
“TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya ia adalah laluan masa depan yang mampu membawa kepada kerjaya profesional, pendapatan yang baik dan peluang pembangunan diri yang luas,” katanya dalam program AWANI Pagi, pada Isnin.
Menurut beliau, MTVET memainkan peranan sebagai badan penyelaras utama yang menyatukan keseluruhan ekosistem TVET di bawah satu hala tuju nasional yang lebih tersusun.
Katanya, usaha tersebut membolehkan pelaksanaan dasar, kerjasama industri dan sistem latihan dilaksanakan secara lebih strategik dan berkesan.
Dalam pada itu, Azmir berkata antara pencapaian membanggakan ialah kadar kebolehpasaran graduan TVET yang kekal tinggi.
“Pada tahun 2025, kadar graduan TVET yang berjaya memperoleh pekerjaan meningkat daripada 95.6 peratus kepada 95.9 peratus,” katanya.
Beliau berkata peningkatan itu membuktikan graduan TVET terus relevan dan mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja.
Kerajaan melalui MTVET komited untuk terus memperkukuh ekosistem TVET menerusi dasar yang jelas, kerjasama industri, penggunaan teknologi terkini serta peningkatan akses kepada latihan.
Sempena Hari TVET Negara, semua pihak diseru untuk bersama-sama mengangkat martabat TVET sebagai agenda penting negara dalam melahirkan generasi mahir, berdaya saing dan berpendapatan tinggi.