GUA MUSANG: Kemunculan harimau belang di belakang rumah penduduk di Kampung Bihai Lama di sini, menyebabkan masyarakat Orang Asli di kawasan itu ketakutan.

Kehadiran harimau itu disedari oleh Nari Abus, 46, yang terserempak dengan haiwan berkenaan pada jam 6 petang, Sabtu.

"Harimau tersebut menghampiri rumah sehingga menyebabkan kami terpaksa lari dan mengurung diri dalam rumah," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Ahad.

Menurutnya, susulan kejadian itu penduduk terpaksa menjalani perintah berkurung bagi mengelakkan mereka berdepan bahaya.

Katanya, mereka kini menjalani perintah tersebut secara beramai-ramai di dalam lima buah rumah.

Dia berkata, bagaimanapun pemeriksaan lanjut mendapati harimau itu menuju ke kawasan kebun.

"Sebelum ini terdapat tiga ekor harimau yang berkeliaran di kawasan kami, tetapi seekor harimau sudah mati selepas membaham seorang penduduk pada Jumaat lalu.

"Bagaimanapun masih terdapat dua ekor lagi yang belum ditangkap dan situasi itu menyebabkan kami sentiasa hidup dalam ketakutan," katanya.

Susulan kejadian serangan harimau penduduk orang asli di Kampung Bihai Lama, Gua Musang terpaksa menjalani perintah berkurung bagi mengelakkan mereka berdepan bahaya.

Pada Jumaat, seorang lelaki Orang Asli maut dibaham seekor harimau dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Anek Along, 59.

BACA: Lelaki maut dibaham harimau di Gua Musang

Anek merupakan mangsa kedua pak belakang di sini selepas pada Julai lalu seorang lelaki Orang Asli, Adin Andok, 43, hampir maut akibat diserang haiwan liar tersebut.

Adin yang mengalami luka di bahagian lengan kanan dan kiri serta mata bertindak menetak harimau belang menggunakan golok bagi menyelamatkan diri selepas diterkam haiwan berkenaan dalam kejadian di Kampung Badak, Pos Bihai.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mencuci kawasan kebun ubi kayu miliknya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.