KUALA LUMPUR: Tumpuan hari ini terarah kepada tunjuk perasaan secara beramai-ramai oleh doktor-doktor kontrak yang akan bergerak keluar daripada pusat kesihatan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara pada pukul 11 pagi.

Menerusi kenyataan Hartal Doktor Kontrak, ia merupakan kesepakatan yang telah dipersetujui secara bersama oleh doktor-doktor kontrak.

Antara lain, kenyataan itu menjelaskan pergerakan tersebut dilakukan berdasarkan kepada tiga keadaan.

Satu, kategori tidak kritikal yang menuntut doktor kontrak berkumpul dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di lobi hospital masing-masing dan bergerak keluar secara besar-besaran melalui pintu utama.

Sebelum keluar, diminta doktor kontrak untuk menyerahkan tugasan penting kepada pegawai perubatan yang masih ada di dalam wad untuk memastikan tiada pesakit yang terjejas rawatan.

Semasa keluar, turut digalakkan untuk membawa bersama plakad dan merakam video perarakan untuk dimuat naik ke media sosial.

Bagi situasi di unit rawatan kritikal seperti unit rawatan rapi (ICU), unit rawatan rapi pediatrik (PICU), unit rawatan koronari (CCU) , wad kebergantungan tinggi (HDW) dan wad rehabilitasi koronari (CRW), pergerakan keluar tepat pada waktu itu hanya akan dilakukan selepas serahan tugas kepada doktor tetap dilakukan.

Jika diperlukan dan dipanggil oleh pihak atasan, semua yang terlibat diminta kembali ke stesen bertugas masing-masing.

Bagi pasukan COVID-19, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC), Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan hospital daerah, digalakkan hanya untuk melakukan solidariti dengan memegang plakad dan mengambil video untuk dimuat naik ke media sosial pada masa yang dijadualkan.

Dilaporkan, sebanyak 24 hospital di seluruh negara dicadangkan menjadi pusat kepada gerakan hartal itu.

BACA: Hartal Doktor Kontrak: PDRM atur penugasan pasukan pemantauan SOP - KPN

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru doktor-doktor kontrak tidak menyertai demonstrasi tersebut.

Beliau memberi peringatan bahawa banyak nyawa sedang bergantung kepada doktor untuk diselamatkan yang akan mempengaruhi kehidupan mereka.


 
Sumber Facebook DGHisham


Tambahnya lagi, kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif terhadap doktor kontrak dan ia akan memberi masa untuk membuat pindaan terhadap Akta Pencen sehingga kedudukan tetap diluluskan.

Doktor kontrak melobi jaminan pekerjaan tetap dan prospek kerjaya yang lebih baik.

Ketika ini dikatakan, doktor kontrak junior kerajaan berdepan risiko kehilangan pekerjaan setelah tamat lima tahun perhidmatan wajib mereka di hospital kerajaan.