Sejumlah 47,154 pemeriksaan dilakukan sepanjang Ops Harga 2014 yang mula dilaksanakan sejak 20 Januari lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, daripada pemeriksaan tersebut, rampasan barangan peniaga ingkar membabitkan sejumlah RM107,000.

Menurutnya, Ops Harga yang dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh negara disifatkan berjaya dalam usaha kerajaan mengatasi kenaikan harga barangan.

“Masih ada satu atau dua orang yang ingkari arahan,” beliau berkata pada sidang media sempena melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pasar Awam Sentral Melaka.

Hasan berkata, Skim Kawalan Harga melibatkan 13 barangan akan dikuatkuasa selama 15 hari bermula hari ini bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

Katanya, harga bagi barangan kawalan ditetapkan sama seperti tahun lalu dan berlaku penurunan bagi ikan bawal putih RM37 sekilogram dan ayam standard RM7.50 sekilogram.

Manakala, ayam hidup RM6.20, kubis bulat import RM3.30, Bawang Putih China RM5, Udang Putih Besar RM38, daging babi RM16, telur ayam gred A RM0.36 sen.

Hasan yang turut melakukan tinjauan di Pasar Borong Selayang pukul 4 pagi tadi memberitahu, berlaku sedikit kenaikan harga rentetan beberapa faktor seperti cuaca dan pengangkutan.

Bagaimanapun, peniaga yang mengambil keuntungan berlebihan boleh berdepan hukuman di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 bagi individu dan RM100,000 bagi syarikat.

Rrang ramai boleh membuat aduan sekiranya berlaku kenaikan melampau di talian Hotline 1 800 886 800 atau melayari laman web KPDNKK dengan membuat e-aduan.