HASiL galak PMKS manfaat e-Invois melalui Portal MyInvois dan MyInvois e-POS

Rasyidah ketika menerangkan tentang inisiatif e-Invois pada Pentas Niaga di Jelajah Jiwa SME 2025 Selangor. -Gambar LHDN
PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperkukuh komitmen terhadap agenda pendigitalan negara menerusi inisiatif e-Invois, satu inisiatif digital yang mengubah cara peniaga mengurus operasi perniagaan, rekod kewangan dan pematuhan cukai di Malaysia.
Ringkasan AI
- HASiL memperkukuh agenda pendigitalan negara melalui pelaksanaan e-Invois yang memudahkan pengurusan perniagaan, rekod kewangan dan pematuhan cukai secara digital.
- Pelaksanaan e-Invois dilakukan secara berperingkat mengikut jumlah jualan tahunan, bermula Ogos 2024 hingga Julai 2026, dengan sokongan seperti Laman Mikro e-Invois dan Meja Bantuan MyInvois.
- Sistem MyInvois e-POS membolehkan peniaga mengurus invois tanpa kos tambahan, menjadikan operasi lebih efisien dan profesional serta menyokong ekosistem perniagaan digital yang telus dan mampan.
“Kita nak semua faham apa itu e-Invois, bagaimana ia berfungsi, dan yang paling penting, bagaimana ia boleh memudahkan urusan perniagaan mereka,” katanya.
Jelasnya, e-Invois bukan sekadar langkah digitalisasi, tetapi satu anjakan besar ke arah pengurusan perniagaan yang lebih efisien, moden dan berintegriti.
“Tak perlu lagi simpan resit kertas atau risau dokumen hilang sebab semuanya digital. Urusan jadi lebih cepat, teratur dan telus,” tambahnya sambil menegaskan bahawa pelaksanaan e-Invois ini menjadikan perniagaan lebih profesional dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital.
Langkah ke arah e-Invois turut mencerminkan hasrat kerajaan untuk membina ekosistem perniagaan yang lebih telus dan mampan, di samping mendigitalkan rekod transaksi melalui platform yang selamat dan memenuhi piawaian.

Pelaksanaan e-Invois dilakukan secara berperingkat bagi memastikan semua kategori perniagaan mempunyai masa mencukupi untuk menyesuaikan diri. - Gambar LHDN
Perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM100 juta telah bermula pada 1 Ogos 2024 lalu, diikuti perniagaan dengan jualan antara RM25 juta hingga RM100 juta pada 1 Januari 2025 yang lalu.
Fasa ketiga pula bermula 1 Julai 2025 untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM5 juta hingga RM25 juta, disusuli perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta pada 1 Januari 2026, manakala kumpulan terakhir iaitu perniagaan dengan jualan tahunan sehingga RM1 juta akan mula melaksanakan e-Invois ini pada 1 Julai 2026.
HASiL turut menyediakan pelbagai saluran bantuan untuk memastikan semua peniaga dapat menyesuaikan diri dengan mudah.
Ini termasuklah Laman Mikro e-Invois yang menyediakan pelbagai rujukan penting tentang pelaksanaan e-Invois seperti garis panduan, video tutorial serta maklumat sesi taklimat atau webinar berkaitan e-Invois di seluruh negara.
Meja Bantuan MyInvois di talian 03-8682 8000 juga beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi menjawab pertanyaan dan memberi panduan kepada pengguna.

Dalam usaha menyokong transformasi digital PMKS, HASiL turut memperkenalkan MyInvois e-POS, platform jualan digital yang disediakan secara percuma kepada perniagaan yang layak. - Gambar LHDN
Melalui MyInvois e-POS ini, peniaga boleh mengeluarkan dan mengurus invois terus daripada sistem jualan mereka tanpa kos tambahan iaitu satu langkah yang bukan sahaja memudahkan pematuhan, tetapi juga meningkatkan kecekapan operasi harian.
Rasyidah turut menyeru komuniti perniagaan agar menyambut perubahan ini dengan pandangan terbuka dan positif.
“e-Invois ini bukan beban, tapi peluang untuk kita maju ke depan lebih efisien, lebih moden dan lebih mudah. Lagi cepat kita mula, lagi cepat kita rasa manfaatnya,” ujarnya.
Dengan pendekatan berperingkat, sokongan menyeluruh dan berterusan, serta sistem yang mesra pengguna, pelaksanaan e-Invois ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada ekosistem perniagaan secara digital di Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


