Warga emas, cucu rentung dalam kebakaran rumah pekerja di Bintulu

Kebakaran membabitkan satu blok rumah pekerja dua tingkat yang terdiri daripada 31 pintu, jenis struktur tidak kekal dengan anggaran keluasan 100 x 30 kaki persegi dan telah terbakar sepenuhnya. - Gambar JBPN Sarawak
BINTULU: Seorang wanita warga emas dan cucunya antara dua yang rentung dalam insiden kebakaran membabitkan sebuah rumah pekerja di Jalan Sungai Nyigu, di sini, awal pagi Isnin.
Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Sarawak, Mohamad Fauzi Mohamat Kifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitrar jam 1.01 pagi dan segera mengaktifkan tiga jentera dan sebuah ambulans EMRS, dengan kekuatan 16 anggota dari Balai Bintulu ke lokasi.
"Pasukan operasi tiba di kawasan rumah pekerja milik Shin Yang Sdn Bhd itu sekitar sembilan minit kemudian dan berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 18 minit.
“Kebakaran membabitkan satu blok rumah pekerja dua tingkat yang terdiri daripada 31 pintu, jenis struktur tidak kekal dengan anggaran keluasan 100 x 30 kaki persegi dan telah terbakar sepenuhnya," kata beliau.

Menurut Fauzi, komander operasi kemudian dimaklumkan bahawa terdapat mangsa yang terperangkap dan siasatan serta pencarian telah diaktifkan.
Kata beliau, sekitar jam 4.20 pagi, pasukan operasi telah menemui dua mangsa yang rentung, yang identitinya kemudian dikenal pasti sebagai Taun Nyaring, 61, dan cucu lelakinya, Melbourne Jeasy, 15.
Kedua-dua mayat mangsa, ujarnya, telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian, jelas Fauzi, kini dalam siasatan pasukan forensik bomba.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


