KUALA LUMPUR: Maxis Berhad (Maxis) mencatatkan pertumbuhan hasil yang stabil dalam suku ketiga berakhir 30 September tahun ini, disokong oleh segmen perniagaan pengguna dan perusahaan terasnya.

Syarikat tersebut dalam kenyataan hari ini berkata, hasil perkhidmatan meningkat sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada RM2,145 juta, didorong oleh pertumbuhan mantap dalam kedua-dua segmen berkenaan.

Selain itu, Maxis memaklumkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM929 juta, dengan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM287 juta.

"Syarikat mengisytiharkan dividen interim sebanyak empat sen sesaham untuk suku tersebut (suku ketiga).

"Perniagaan pengguna Maxis berkembang dengan mantap, dengan peningkatan hasil pascabayar sebanyak 6.3 peratus YoY.

"Kesalinghubungan kediaman mencatat satu lagi suku dengan kadar pertumbuhan dua angka, disokong oleh permintaan fiber yang kuat," kata Maxis hari ini.

Jelas syarikat telekomunikasi itu lagi, perniagaan perusahaan Maxis turut mengekalkan momentum menaik dengan pertumbuhan hasil sebanyak 6.4 peratus YoY.

Perkembangan positif itu, katanya, disokong oleh hasil penyelesaian tetap dan mudah alih.

"Syarikat terus memanfaatkan potensi penawaran perusahaan untuk memberi manfaat kepada perniagaan berbilang saiz, termasuk memacu program geran perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PKS) oleh pihak kerajaan, iaitu Geran Digital Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana Madani," tambah Maxis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, pihaknya gembira kerana dapat mencatatkan pertumbuhan yang stabil untuk suku tersebut, dalam persekitaran operasi yang sangat kompetitif.

"Kami melihat peningkatan penggunaan yang baik untuk pelancaran 5G dan pelan-pelan fiber terkini kami baru-baru ini.

"Keutamaan kami ialah memberi fokus kepada keunggulan operasi dan kami kekal komited sepenuhnya untuk memenuhi semua keperluan kesalinghubungan pelanggan kami," ujarnya.

Dalam pada itu, untuk suku ketiga tahun ini, Maxis menyalurkan sebanyak RM215 juta dalam perbelanjaan modal untuk kualiti rangkaian dan pengembangan kapasiti bagi memastikan pengalaman rangkaian bersepadu yang kukuh di seluruh negara.