Datuk Seri Mohd Shukri Abdull telah menzahirkan perancangan untuk mengundur diri sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Disember tahun lepas lagi.

Dalam satu pertemuan dengan media di sini hari ini bagi menjernihkan suasana serta menafikan pelbagai tohmahan dan fitnah, Mohd Shukri berkata beliau hanya memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan sebagai KP SPRM yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020 dan bukannya meletak jawatan atau diarahkan meninggalkan SPRM kerana menutup beberapa 'fail' berprofil tinggi.

"Keputusan (untuk memendekkan kontrak) saya buat ikhlas," katanya yang kesal keputusannya itu mengundang kecaman dan fitnah.


BACA: Berhenti melalak dan "membawang", PM sudah buat keputusan - Shukri

BACA: Sejak saya masuk kerja sampai sekarang saya 'uphold' integriti saya - Shukri Abdull

BACA: Jangan curiga pelantikan Latheefa sebagai KP SPRM - Khairuddin

BACA: Latheefa, sila letak jawatan jika bermaruah - AMK

BACA: 'PM punya kuasa veto, tak perlu rujuk Kabinet'


Mengimbau hasratnya untuk mengundur diri sebagai KP SPRM pada Disember tahun lepas, Mohd Shukri berkata beliau rela berbuat demikian bagi menyerahkan jawatan itu kepada Datuk Seri Mustafar Ali setelah mendapat maklumat kontrak Mustafar sebagai Ketua Pengarah Imigresen tidak disambung.

Menurutnya, jika kontrak Mustafar, yang merupakan pegawai kanan SPRM, tidak disambung sebagai KP Imigresen, beliau perlu membawa Mustafar pulang ke SPRM namun pangkat Jusa A yang disandang Mustafar yang bersesuaian untuk jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) sudah diisi.

Mohd Shukri menyatakan hasrat untuk berundur itu dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memandangkan beliau juga telah menyelesaikan tugasnya berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International serta masalah dalaman SPRM namun Dr Mahathir tidak memberikan sebarang jawapan "ya atau tidak".

Tidak lama kemudian dalam Disember juga, katanya, beliau dimaklumkan Mustafar akan menerajui Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) dan beliau lega dengan isu penempatan pegawai kanan SPRM selesai.

Mohd Shukri berkata kemuncak kepada hasrat untuk mengundur diri daripada SPRM berlaku pada Mac tahun ini.

Menurutnya, beliau telah menyediakan sepucuk surat bertarikh 6 Mac 2019 kepada Dr Mahathir dan dalam surat itu beliau menyatakan kepada Perdana Menteri bahawa dalam pertemuannya dengan Dr Mahathir pada 14 Mei 2018, beliau berjanji dengan Dr Mahathir untuk bertugas selama setahun bagi menyelesaikan kes 1MDB, SRC International dan masalah dalaman SPRM.

"Saya beritahu (Perdana Menteri) dalam surat itu bahawa tugas saya telah selesai, kes sudah selesai dan dituduh di mahkamah.

"Dalam masa yang sama saya sertakan satu senarai yang panjang, kes-kes VVIP lain yang selesai, dan dituduh di mahkamah. Panjang," katanya sambil menambah senarai panjang itu mengandungi kes-kes yang diselesaikan SPRM selain kes 1MDB dan SRC International.

Mohd Shukri turut mendedahkan dalam surat itu, beliau menyatakan mengenai cadangan untuk memendekkan kontrak perkhidmatannya berkuat kuasa 1 Mei 2019.

Beliau turut mencadangkan pengganti beliau kepada Dr Mahathir iaitu dua orang pegawai kanan SPRM yang tidak didedahkan identitinya.

"Saya turut menjelaskan dalam surat itu kenapa saya mencadangkan orang dalam. Kerana mereka telah faham tugas-tugas SPRM. Jadi mudah bagi mereka untuk meneruskan visi dan misi SPRM dengan lancar," katanya.

Mohd Shukri berkata beliau membawa surat itu ketika berjumpa Perdana Menteri bersama Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Menurutnya, tujuan membawa Abu Kassim ketika bertemu Perdana Menteri ketika itu ialah untuk meyakinkan pemimpin nombor satu negara itu supaya bersetuju dengan permohonan beliau.

"Sekali lagi Perdana Menteri tidak memberi jawapan ya atau tidak. Jadi tidak apalah. Saya tunggulah dia punya keputusan. Sehingga 1 Mei saya tidak terima sebarang keputusan. Saya terus kerja macam biasa dan masih terima gaji. Sehinggalah 4 Jun saya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berjumpa KSN (Ketua Setiausaha Negara) Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

"Hari itu baru saya tahu bahawa sebenarnya sudah dilantik pengganti saya. Saya dari Alor Setar sebab masa itu saya sudah berada di Kedah untuk berhari raya sejak Ahad 2 Jun.

"Saya jumpa Yang di-Pertuan Agong pada 11 pagi (4 Jun) dan selepas itu berjumpa KSN. Dan sah bahawa yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ialah orang luar dan bukanlah orang yang saya cadangkan. Itulah ceritanya," kata Mohd Shukri.

Mohd Shukri berkata tujuan beliau menceritakan urutan peristiwa itu adalah untuk memaklumkan bahawa perancangannya untuk berundur diri sebagai KP SPRM dibuat dari awal lagi.

"Saya bukan meletak jawatan atau memendekkan kontrak secara tiba-tiba. Saya cuma berpegang kepada janji dengan Perdana Menteri (yang saya buat pada 14 Mei 2018)," katanya.

Mohd Shukri bersara awal sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) pada 31 Julai 2016 sebelum kembali sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mei 2018 untuk tempoh dua tahun secara kontrak. Mohd Shukri, 58, bagaimanapun memutuskan untuk memendekkan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.

Latheefa Beebi Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun setelah Mohd Shukri membuat keputusan memendekkan kontraknya.

Mohd Shukri berkata beliau lega kerana perancangan beliau untuk berkhidmat secara setahun dengan SPRM sudah terlaksana dan meminta supaya semua pihak berhenti melemparkan fitnah dan tohmahan berhubung pengundurannya dari SPRM.

"Biarlah saya meninggalkan SPRM dalam keadaan aman dan menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga," katanya mengakhiri pertemuan bersama pihak media dengan ditemani sepasang anak kembarnya.