Wabak hawar berdarah menjadi punca kematian lebih 35 ekor kerbau peliharaan bapa Muhammad Syukor Khamis atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’.

Kematian haiwan ternakan yang menjadi kesayangan remaja berusia 15 tahun itu mengakibatkan keluarga itu kerugian lebih RM200,000.

Apa yang membuatkan Muhammad Syukor dan keluarganya terkejut ialah apabila kerbau-kerbau yang dipelihara di Kampung Banggol Katong, Serada, di sini mati secara berperingkat sejak Rabu lalu dan 11 ekor daripadanya difahamkan mati bergelimpangan

Menurut bapanya, Khamis Jusoh, kejadian itu disedari mereka pada Rabu lalu selepas seekor kerbaunya mati.

Katanya, pada keesokan harinya, beberapa lagi ekor mati dan setakat hari ini lebih 30 ekor ternakan itu mati.

“(Kami) sedar pada 9 September seekor (mati), kemudian dua, lepas itu tiga, empat (dan) yang ketaranya semalam (Ahad) 11 ekor dalam kandang (mati) bergelimpangan.

“Hari Jumaat (lalu) ada yang sudah mati dalam kandang tapi tak sebanyak macam semalam dengan hari ini,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Khamis berkata, dia buntu dan tidak dapat memberi kepastian apakah punca sebenar kematian binatang ternakannya itu sama ada diracun atau terkena jangkitan kuman.

Ini kerana, kata Khamis, kejadian sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sementara itu, Muhammad Syukor berkata, kematian lebih 35 ekor kerbau itu merupakan kali pertama dialaminya sejak dia mula berjinak-jinak dengan binatang peliharaan bapanya sejak berusia enam tahun.

BACA: Apa itu hawar berdarah punca kerbau 'Mowgli Malaysia' mati bergelimpangan?

BACA: Hebatnya 100 gambar Mowgli Malaysia bakal dipamerkan di New Zealand!





Berkongsi kesedihan yang dilalui keluarga itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menitipkan doa buat Syukor dan bapanya, Pak Khamis agar bersabar.

“Pagi ini menerima berita kematian mengejut 25 ekor kerbau Pak Khamis di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu. Kepada anakanda Syukor sekeluarga, banyakkan bersabar. Saya dimaklumkan, Syukor dan Pak Khamis amat sedih sekarang,” kata Zulkifli dalam hantaran di Facebook beliau.

Zulkifli juga dalam hantaran sama berpesan pada diri beliau dan seluruh umat Islam bahawa kehidupan dan kematian adalah milik Allah SWT.

“Jasad kita juga adalah milikNya. Sedih itu hal yang biasa namun usah terlalu bersedih kerana ia adalah putaran biasa kehidupan makhluk Allah SWT.

“Maha Suci Allah yang mengikat pertalian kasih antara manusia dan haiwan dengan sebegitu erat,” kata Zulkifli yang turut berkongsi sepotong doa dalam hantaran yang sama.



Sumber Facebook drzulkiflialbakri