NATIONAL
Hayati semangat Aidilfitri, elak sengketa dalam masyarakat - Fahmi
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama menghayati semangat dan pengertian Syawal bagi menyemarakkan lagi nilai keharmonian dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengajak rakyat menghayati semangat Syawal untuk mengeratkan silaturahim dan melupakan persengketaan.
- Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan menghadiri Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara bersama lebih 300 tetamu.
- Timbalan Menteri Perpaduan Negara K.Saraswathy menekankan kepentingan perayaan seperti Aidilfitri dalam memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
"Harapan saya, kita semua dapat mengambil ibrah dan pengajaran dari tarbiah Ramadan yang baru saja berlalu, dan berusaha sedaya upaya untuk terus memperkukuh perpaduan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media rasmi pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara, di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis berkenaan yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri-menteri Kabinet.
Majlis itu turut dihadiri lebih 300 tetamu antaranya Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai serta perwakilan asing.
Sementara itu Timbalan Menteri Perpaduan Negara K.Saraswathy berkata Malaysia yang kaya dengan pelbagai perayaan masyarakat majmuk menjadikan negara ini begitu unik.
Beliau berkata melalui sambutan perayaan seperti Aidilfitri masyarakat belajar untuk saling menghormati kepercayaan dan amalan agama masing-masing.
"Raya bukan sahaja disambut oleh orang Islam, tetapi turut diraikan oleh semua rakyat, ramai mengambil peluang untuk saling berkunjung ke rumah kawan-kawan, termasuk saya yang hadir ke istana bagi menyambut Hari Raya.
"Perayaan seperti ini menjadi platform penting untuk kita memperkukuhkan semangat perpaduan dan keharmonian, di samping memberi peluang kepada kita untuk mempelajari budaya serta cara hidup etnik dan agama lain," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami