MALAYSIA
Hazwani Helmi kongsi semangat tahanan dalam penjara Israel

Hazwani turut menceritakan bagaimana sebelum kapal mereka diserang, tentera Israel menyiarkan lagu provokatif melalui radio.
ISTANBUL: “Tentera berdiri di hadapan kami dengan senapang, tapi kami tetap menjerit ‘Free Palestine! From the river to the sea!’”
Ringkasan AI
- Hazwani Helmi menceritakan keberanian para aktivis dalam penjara Israel yang tetap melaungkan sokongan kepada Palestin meskipun berdepan tentera bersenjata.
- Beliau berkongsi detik dipisahkan dari kakaknya, serta kekuatan luar biasa yang ditunjukkan oleh aktivis dari pelbagai negara dan usia, termasuk warga emas yang tetap berjuang.
- Hazwani menzahirkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Turkiye atas usaha pembebasan, dan menyifatkan pemelukan Islam oleh seorang aktivis asing sebagai kemenangan sebenar.
“Kami berdoa, ‘Ya Allah, biarlah kami adik-beradik bersama supaya aurat kami terjaga.’ Tapi akhirnya kami tetap dipisahkan, saya di penjara lain, Kak Ja di penjara lain,” katanya.
Hazwani turut menceritakan bagaimana sebelum kapal mereka diserang, tentera Israel menyiarkan lagu provokatif melalui radio dengan lirik berbunyi ‘Many more will have to suffer, many more will have to die’, bertujuan menakut-nakutkan mereka.
“Mereka mainkan lagu itu berulang kali. Tapi kami tak gentar. Seluruh flotilla itu penuh semangat. Ada peserta dari Colombia, Sweden dan banyak lagi negara. Semua kuat,” katanya.
Di dalam penjara, katanya, para aktivis, Muslim dan bukan Muslim, saling memberi kekuatan. Malah, ramai warga emas berusia lebih 70 tahun tetap teguh berjuang.
“Ada yang berumur 78 tahun, kaki patah pun masih bersemangat. Mereka kata, ‘We will return back.’ Kita yang muda rasa malu kalau tak kuat,” katanya.
Sebelum dibebaskan, semua tahanan dari pelbagai negara bersatu melaungkan solidariti untuk Palestin.
“Kami jerit sama-sama, walaupun tentera bersenjata berdiri di depan kami. Kami laung ‘Free Palestine!’ dan ‘From the river to the sea!’ sampai bergema seluruh sel,” katanya dengan bangga.
Hazwani turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan Turkiye atas usaha pembebasan mereka, serta berkongsi momen menyentuh hati apabila seorang aktivis asing memeluk Islam sebelum berlepas pulang.
“Semasa naik kapal terbang balik, kami semua menangis. Seorang aktivis masuk Islam pagi itu sebelum penerbangan berlepas. Itulah kemenangan sebenar, Islam dan kemanusiaan bersatu,” katanya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami