Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mahu perbuatan melabelkan Islam ekstrem dan sederhana di negara ini dihentikan bagi mengelakkan ketegangan dan perkara tidak diingini.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata tindakan golongan tertentu yang cuba mewujudkan perbalahan pendapat dalam kalangan masyarakat Islam negara ini dengan cuba menonjolkan wujudnya dua kumpulan umat Islam itu hanya membawa kesan yang negatif.

Beliau mendakwa pandangan itu turut dikongsi 35 pemikir Melayu termasuk Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor dalam satu diskusi yang diadakan baru-baru ini.

Perbincangan tersebut turut bersetuju tentang adanya usaha pihak tertentu cuba menonjolkan wujudnya dua kumpulan umat Islam di negara ini, dan tindakan itu perlu dihentikan terutama dalam bentuk laporan di akhbar tempatan, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya Mapim mendapati ada penulis dalam sebuah akhbar tempatan menulis artikel berbentuk berat sebelah tentang umat Islam di negara ini dengan melabelkan Malaysia sebagai negara yang tidak toleran dan meletakkan komuniti Melayu Islam sebagai ekstrem.

Mohd Azmi berkata pandangan penulis itu boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat dan membawa kepada perpecahan kaum.

"Apabila mereka (penulis) mulai menyebut, ia sudah masuk dalam medan menuduh kaum-kaum tertentu, ini tidak sihat.

"Seolah-olah orang Melayu tidak boleh dikawal, tamak, tidak rasional, tiada toleransi, dan tuduhan itu menghina. Mereka sepatutnya berhujah dengan ilmiah dan fakta serta tidak melabelkan secara umum," katanya.

Sehubungan itu, katanya Mapim dan 35 ahli pemikir bersepakat menghantar surat kepada akhbar itu hari ni bagi menyatakan pendirian mereka berhubung tindakan akhbar itu yang dilihat sering mengeluarkan artikel tentang perkara tersebut.