MALAYSIA
Henti lesen: Lebih 60 premis jual vape di Perak terlibat mulai 1 Januari - Exco

Ng berkata penguatkuasaan melibatkan lesen perniagaan penjualan rokok elektronik tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa PBT dengan kerjasama erat bersama JKN Perak turut dijalin bagi tujuan berkenaan. - Gambar fail/Bernama
IPOH: Lebih 60 premis menjual rokok elektronik atau vape di 15 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak terlibat dengan keputusan kerajaan negeri untuk tidak lagi mengeluarkan lesen menjual produk berkenaan bermula 1 Jan 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata bagaimanapun premis terlibat masih dibenarkan beroperasi sehingga lesen sedia ada tamat tempoh termasuk bagi membolehkan mereka menghabiskan semua stok jualan.
"Kita ambil kira juga premis yang masih ada lesen sah, sebab itu kerajaan negeri beri tempoh hingga Januari bagi membolehkan peniaga menguruskan operasi mereka dan jika perlu menukar kepada perniagaan lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.Ng berkata penguatkuasaan melibatkan lesen perniagaan penjualan rokok elektronik tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa PBT dengan kerjasama erat bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak turut dijalin bagi tujuan berkenaan.
Pada 1 Okt lepas, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A. Sivanesan mengesahkan Perak bakal melaksanakan larangan penjualan rokok elektronik di semua premis perniagaan dalam kawasan PBT negeri ini selepas ia dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK).
Keputusan itu juga dicapai selepas pembentangan kertas Cadangan Polisi Larangan Lesen Penjualan Rokok Elektronik oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dalam MMK pada 22 Sept lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami