Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pihak supaya menghentikan segera apa saja percubaan untuk menjadikan keputusan pilihan raya umum ke-13 yang lalu sebagai isu perkauman.

Kata beliau, usaha itu tidak berfaedah dan tidak adil.

"Tindakan tuduh-menuduh dan menyalahkan mana-mana komuniti adalah tidak adil dan tidak memberi manfaat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari Bahrain. Beliau berada di Bahrain untuk menghadiri satu mesyuarat.

Pada masa sama, Abdullah meminta Pakatan Rakyat menerima dan menghormati keputusan pilihan raya itu demi kestabilan negara.

"Marilah kita terus maju ke depan demi kepentingan semua rakyat Malaysia," katanya.

Kenyataan Abdullah ini dilihat sebagai reaksi kepada kecenderungan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang melemparkan kesalahan kepada kaum Cina atas peralihan undi yang menyaksikan BN menang kurang tujuh kerusi Dewan Rakyat berbanding pilihan raya umum 2008. BN menang 133 kerusi manakala Pakatan Rakyat menang 89 kerusi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam analisis awalnya mengatakan peralihan undi itu sebagai "tsunami kaum Cina" dan sekiranya tidak ditangani boleh mendatangkan ancaman kepada kestabilan negara.

Dalam reaksinya pada malam keputusan pilihan raya, beliau mengumumkan langkah penyatuan nasional bagi memulihkan keadaan masyarakat itu yang akan digerakkan oleh kerajaan pimpinannya nanti.

Analisis awal itu bagaimanapun tidak disetujui oleh penganalisis politik yang berpendapat pandangan itu terlalu simplistik dan mengelirukan, sebaliknya ada faktor lain seperti jurang kelas ekonomi, latar pengundi bandar dan luar bandar serta perbezaan umur pengundi yang mempengaruhi pola pengundian yang bertambah kepada Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat juga dalam analisisnya mendedahkan bagaimana beberapa kerusi yang dimenanginya tidak mungkin dimenangi tanpa undi kaum lain selain daripada Cina.

Dalam reaksi susulan beberapa hari kemudian, Najib menegaskan pengundi Cina tidak menyokong BN kerana termakan hasutan dan penipuan pemimpin Pakatan Rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam reaksinya terhadap keputusan PRU-13 bersetuju bahawa berlaku "tsunami Cina" yang diburukkan lagi dengan orang Melayu yang tamak.
MCA pula dalam reaksinya menutup pusat khidmat bantuan di beberapa bahagian sebagai tindakan "mengajar" kaum Cina yang menolak parti itu.

Sementara itu, biarpun keputusan PRU-13 itu tidak lebih baik daripada pilihan raya umum 2008, Abdullah berpendapat "Najib masih orang yang terbaik untuk terus memimpin negara ini."
" Saya memberikan sokongan padu saya dan berharap beliau akan meneruskan agenda-agenda transformasinya," katanya.

Jelas Abdullah, rakyat telah memberi isyarat jelas bahawa mereka mahukan perubahan dan Najib mesti memberikan respons dengan merancakkan lagi program transformasi untuk menangani rasuah, jenayah dan kos hidup.

"Saya percaya beliau mempunyai strategi yang dapat memperbaiki keadaan sedia ada," katanya.