IPOH: Rang Undang-undang (RUU) berkaitan larangan Ahli Parlimen untuk bertukar parti yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis dilihat mampu menyumbang kepada kestabilan politik tanah air.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu akan mengurangkan ‘insiden lompat melompat’ dalam kalangan ahli politik sehingga menjatuhkan sesebuah kerajaan.

Katanya lagi, RUU berkenaan juga akan memperlihatkan penubuhan kerajaan yang kuat berdasarkan kepada sokongan daripada rakyat sepenuhnya.

“Selain itu, RUU itu akan mengurangkan rasuah politik seperti tawaran jawatan atau wang ringgit (sebagai tawaran kepada ahli politik untuk melompat kepada parti lain).

“Misalnya seperti video tular ‘scheme of things’ sebelum ini yang mana didakwa (kandungan video itu dikatakan) tujuannya untuk membeli Ahli-Ahli parlimen daripada UMNO bagi memberi sokongan kepada parti yang lagi satu.

“Ini kerana pihak berkenaan menganggap ia adalah salah satu cara untuk satu parti kecil yang tak ada kekuatan, cuba untuk mempengaruhi politik tanah air kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Kepada Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kafe Shake and Bake di Jalan Sultan Nazrin Shah, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Bendahari Agung MCA, Datuk Lee Chee Leong serta Ketua Pemuda MCA Perak, Daniel Wa Wai How.

Pada majlis berkenaan beliau menyaksikan penyerahan sumbangan tunai sebanyak RM50,000 daripada Kafe Shake and Bake kepada Yayasan Pendidikan UTAR bagi pembinaan hospital swasta berkenaan di Kampar.

Terdahulu, Najib diminta mengulas berkenaan kelulusan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam masa sama, bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kelulusan RUU di peringkat Dewan Rakyat berkenaan juga disifatkan sebagai satu langkah menghormati prinsip demokrasi negara dengan lebih baik. 

Ini kerana, menurut beliau tindakan Ahli Parlimen yang bertukar parti selepas memenangi sesuatu kerusi bukan sahaja tidak menghormati parti malah tidak menghormati prinsip demokrasi.

“Bila kita bertanding dalam pilihan raya, kita akan bertanding atas tiket parti. Bukan sahaja parti memilih kita, malah jentera parti juga mampu menyumbang kepada kemenangan kita.

“Jika dia menjadi calon Bebas, jarang sekali dalam sejarah politik tanah air kita ini, calon Bebas akan menang dalam mana-mana pilihan raya.

“Jadi, apabila kita sudah menang, kita lupakan pula parti dan sebaliknya merasakan bahawa kita ada hak memilih sesiapa sahaja untuk disokong.

“Ini amat bertentangan dengan prinsip demokrasi yang sepatutnya, yang mana kita berpegang kepada mandat diberikan rakyat.  Ini kerana mereka telah memilih kita atas dasar calon daripada sesebuah parti,” jelasnya lagi.