Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebaliknya meminta semua pihak menghentikan spekulasi mengenai peletakan jawatan Sultan Muhammad V.

Menurutnya, tiada guna mencari sebab atau punca tindakan Sultan Muhammad V melepaskan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Ahad.

Mohd Amar juga turut meminta supaya menghentikan penularan di media sosial sejak semalam mengenai dakwaan peletakan jawatan baginda adalah disebabkan perkahwinan dengan wanita bukan Melayu yang dikatakan melanggar undang-undang tubuh kerajaan Kelantan.

Katanya, lebih baik berdiam diri daripada membuat spekulasi perkara yang tidak diketahui kerana ia tidak mendatangkan faedah.

"Tak elok kita buat sebarang spekulasi sebab kita tak tahu dan tak ada guna pun kita nak cari sebab. Nak buat apa? Bagi saya terima saja macam itu.

"Soal kahwin memang dalam peraturan macam tu, tapi nak kahwin tak salah. Peraturan melantik raja perempuan ada beza.

"Bukan kata tak boleh kahwin dengan orang tu, cuma pelantikan. Pelantikan raja perempuan itu hak sultan, tapi mengikut peraturan yang ada.

"Bagi saya, itu hak dia. Kita hormati, tak perlu persoal."

Mohd Amar memaklumkan beliau tidak mempunyai maklumat sama ada surat rasmi mengenai peletakan jawatan itu dihantar kepada menteri besar atau belum kerana menteri besar Datuk Ahmad Yakob menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri dan rakyat kelantan masih terkejut dengan peletakan jawatan Sultan Muhammad V yang disifatkan satu tindakan yang tidak diduga.