IPOH: Umat Islam dinasihatkan agar menghentikan tindakan boikot terhadap kedai serbaneka KK Mart susulan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di salah satu cawangan kedai serbaneka itu.

Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh berkata, tindakan boikot itu sebenarnya bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW.

Menurutnya, mengikut kaedah kehakiman Islam, satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya, atau "alqasdul jinaei" (criminal intent).

“Elemen ini tidak boleh dibuktikan melalui "syahadah" atau 'direct evidence'. la hanya boleh dibuktikan dengan pengakuan atau melalui kaedah pembuktian "qarainul ahwal" (circumstantial evidence).

“Daripada penjelasan yang dibuat oleh pihak pengurusan KK Mart dan permohonan maaf secara terbuka terhadap insiden yang berlaku serta penjelasan yang dibuat kepada JAKIM, ternyata kewujudan rukun alqasdul jinaein ini tidak dapat dibuktikan.

“Dengan demikian, berasaskan kaedah kehakiman Islam, tuduhan menghina agama Islam terhadap pengurusan KK Mart tidak terbukti,” katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di Ipoh, pada Jumaat.

Beliau yakin kenyataannya itu adalah amanah yang wajib disampaikan sebagaimana yang diperintahkan dalam surah An-Nisaa ayat 58.

Menurutnya, apabila isu itu disensasikan dengan menyemarakkan sentimen kebencian dan kemarahan, maka usaha menanganinya telah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam sejagat.

“Prinsip keadilan sejagat mempunyai kedudukan yang suci dalam Islam kerana ia bersumberkan satu daripada nama-nama Allah yang indah "al-Adl".

“Ayat 8 daripada Surah Al-Maaidah menekankan bahawa keadilan wajib ditegakkan terhadap semua kaum sama ada yang kita suka atau tidak.

“Manakala dalam Surah An-Nisaa ayat 58 perintah menegakkan keadilan didahului oleh perintah menyampaikan amanah kepada mereka yang berhak.

“Ini membawa pengertian bahawa keadilan adalah amanah yang wajib disampaikan kepada siapa sahaja yang berhak tanpa mengira kaum,” ujarnya.

Mengulas mengapa baru sekarang beliau bersuara mengenai isu itu, Wan Zahidi menjelaskan, ia mengambil masa kerana rujukan ilmiah perlu dibuat di samping mengambil kira perkembangan semasa.

Beliau juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kritikan sekiranya kenyataan yang dikeluarkan itu menimbulkan polemik dalam kalangan umat Islam.

Pengurusan tertinggi KK Mart menyatakan kesal dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah Allah di salah sebuah cawangannya di Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya yang tular di media sosial.

Pada 19 Mac lalu, Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh menggesa supaya umat Islam memboikot KK Mart susulan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di salah satu cawangan kedai serbaneka itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, tindakan memboikot itu tidak melibatkan isu 3R, sebaliknya untuk mempertahankan kesucian agama Islam yang dihina.