PUTRAJAYA: Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menggesa semua pihak supaya menghentikan tafsiran yang salah berhubung maksud frasa 'liberal' yang terdapat dalam cita-cita Rukun Negara.

Beliau berkata salah satu cita-cita Rukun Negara adalah "menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan pelbagai corak" dengan perkataan "liberal" itu merujuk kepada sikap keterbukaan dan penerimaan (Faham, Hormat dan Terima) kepada perbezaan budaya antara kaum dan etnik.

"Rakyat bebas mengamalkan agama, adat resam serta kebudayaan masing-masing sesuai dengan kepentingan perpaduan negara," katanya dalam kenyataan hari ini bagi memberi penjelasan berhubung frasa 'liberal' dalam cita-cita Rukun Negara.

Beliau berkata cita-cita Rukun Negara menegaskan prinsip-prinsip yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu padu, demokratik, adil, liberal dan progresif.

"Penerapan nilai-nilai liberal (keterbukaan terhadap perbezaan budaya antara kaum) dalam masyarakat akan membantu mencipta persekitaran yang lebih inklusif, dinamik dan progresif, serta memberi peluang kepada setiap individu untuk berkembang dan menyumbang kepada pembangunan negara secara positif," katanya.

Dalam menerangkan mengenai proses pembentukan Rukun Negara, Aaron berkata Majlis Perundingan Negara yang dianggotai oleh 13 tokoh negara daripada pelbagai latar belakang kaum dan kepakaran telah menghasilkan Rukun Negara sebagai falsafah negara baharu.

Rukun Negara telah dirangka berdasarkan tujuh tunjang utama yang telah dikemukakan melalui kertas 'Pillars of Nation'.

"Akhirnya, Rukun Negara telah dirangka dan disusun kepada dua bahagian iaitu lima cita-cita dan lima prinsip. Cita-cita dan prinsip Rukun Negara kemudiannya telah diterjemah kepada suatu bentuk falsafah atau ideologi nasional.

"Falsafah yang bernilai tinggi ini perlu dihayati oleh setiap warganegara Malaysia bagi memastikan kelestarian dan kesesuaiannya sepanjang masa," katanya.

-- BERNAMA