IPOH: Sebanyak 42 buah taman didikan kanak-kanak (tadika) di Perak telah ditutup ekoran wabak penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD), sehingga minggu epidemiologi ke-19 tahun ini, yang berakhir pada 14 Mei lalu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, penutupan itu dibuat secara sukarela dan arahan di bawah Akta Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurutnya, daerah Kinta mencatatkan penutupan tadika tertinggi iaitu 20 buah dan diikuti oleh daerah Perak Tengah (enam).

“Jabatan Kesihatan Negeri Perak ingin menasihati orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak kecil agar mengambil langkah berjaga-jaga berikut untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau memberitahu, sepanjang minggu epidemiologi ke 19 sebanyak 754 kes HFMD dilaporkan di Perak.

Katanya, ia menunjukkan peningkatan berbanding hanya 10 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.

Menurutnya, ia juga menunjukkan peningkatan kes yang didaftarkan berbanding minggu sebelumnya (minggu epid ke-18) iaitu sebanyak 537 kes.

Katanya, daerah Kinta mencatatkan kes tertinggi iaitu 178 kes, diikuti Hilir Perak (127), Perak Tengah (71), Manjung (70), Batang Padang (63), Hulu Perak (51), Kerian (51), Muallim (47), Kampar (46), Larut, Matang, Selama (28), dan Kuala Kangsar (22).

Menurut Mohd Akmal, jumlah kes HFMD secara keseluruhan adalah 2,638 kes, berbanding hanya 159 kes bagi tempoh yang sama tahun 2021.

“Ia menunjukkan peningkatan kes HFMD sebanyak 15.6 kali ganda,” ujarnya.

Katanya, daripada jumlah itu, kes tertinggi dilaporkan di kalangan kanak- kanak berumur enam tahun dan ke bawah iaitu 2,465 kes, diikuti 150 kes dalam kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun, dan 23 kes yang berumur melebihi 12 tahun.

Bagaimanapun, kata beliau, tiada kes kematian yang dilaporkan akibat HFMD di Perak setakat ini.