TAIPING: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menggalakkan penggunaan kaedah rawatan tradisional seperti menggunakan serbuk kunyit dan daun semambu untuk merawat penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Sebaliknya, adalah lebih baik ibu bapa terus berjumpa doktor sekiranya anak-anak mereka mempunyai simptom jangkitan penyakit berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, paling utama ialah kanak-kanak yang terkena penyakit itu diberi minum air yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi.

Menurut beliau, ini adalah kerana, kanak-kanak yang dijangkiti HFMD akan terkena ruam serta lepuh (gelembung bendalir pada kulit) serta ulser di mulut.

“Itu memang tanda-tanda utama dia (kanak-kanak) tak nak makan, minum pun tak nak… jadi itu bahaya, pastikan anak-anak banyak minum, pastikan banyak minum air.

“Kalau tidak boleh minum langsung dan sebagainya memang perlu berikan secara suntikan intavena… maknanya kena pergi ke hospital sebab kita tak nak anak-anak jadi lemah, jadi lemah sebab itu saja (dan) kebanyakan yang kena kanak-kanak bawah 10 tahun,” jelas beliau.

Dr Noor Azmi berkata demikian ketika ditemui di majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini, pada Ahad.

Menurut Dr Noor Azmi, setakat ini tiada rawatan khusus dari segi segi sains untuk merawat penyakit HFMD.

Katanya, walaupun belum ada kes kematian yang dilaporkan, namun negara ketika ini sedang melalui fasa epidemik atau wabak HFMD.

Ini berikutan kes HFMD di seluruh negara meningkat secara mendadak kepada lebih 7,526 kes pada minggu ke-19 tahun ini yang berakhir 14 Mei lalu, berbanding hanya 1,676 kes minggu sebelumnya.

HFMD adalah penyakit yang sering berjangkit di kalangan kanak-kanak disebabkan jangkitan virus daripada kumpulan Enterovirus yang merebak melalui sentuhan dengan air liur, cecair hidung, cecair lepuh dan najis pesakit.

Kanak-kanak yang dijangkiti HFMD biasanya menunjukkan satu atau lebih simptom seperti demam, ruam, melepuh lada kaki, tangan atau ulser pada mulut dan lidah di samping berkemungkinan mengalami muntah, cirit birit dan kurang selera makan.