Trump umum bakal lawat China awal 2026

Presiden Trump mengumumkan beliau akan melakukan lawatan rasmi ke China pada awal tahun depan selepas menerima jemputan daripada kerajaan Beijing. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan beliau akan melakukan lawatan rasmi ke China pada awal tahun depan selepas menerima jemputan daripada kerajaan Beijing.
“Saya telah dijemput untuk ke China dan lawatan itu dijangka berlangsung awal tahun depan. Tarikh hampir dimuktamadkan,” katanya kepada wartawan di White House, di sini, pada Isnin.
Trump turut menjelaskan, beliau akan bertemu Presiden China, Xi Jinping di Korea Selatan hujung bulan ini bagi memuktamadkan perjanjian perdagangan yang disifatkannya sebagai “adil”, walaupun hubungan kedua-dua negara baru-baru ini tegang susulan pertikaian tarif.
Hanya minggu lalu, ketegangan antara Washington dan Beijing hampir mencetuskan semula perang perdagangan apabila China mengumumkan sekatan baharu terhadap eksport unsur nadir bumi, manakala Trump pula mengugut menaikkan tarif barangan China sehingga 100 peratus.Ketika hubungan kedua-dua negara berada di tahap terendah, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, menuduh China “mengacukan bazuka ke arah rantaian bekalan dan asas perindustrian dunia bebas.”
Namun pada Isnin, Trump mengambil nada lebih lunak dengan menegaskan kedua-dua negara perlu “maju bersama”.
Beliau turut menyeru China untuk membeli semula kacang soya dari AS - antara komoditi paling terjejas akibat perang perdagangan sebelum ini sekali gus meningkatkan harapan pasaran.
Selepas kenyataannya itu, niaga hadapan kacang soya di Chicago melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sebulan.
Trump juga menzahirkan keyakinan terhadap hubungannya dengan Xi, walaupun laporan Pentagon sebelum ini mendakwa China merancang untuk menawan Taiwan menjelang 2027.
“Saya fikir hubungan kita dengan China baik-baik saja. China tidak akan berbuat begitu,” katanya semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
Trump mengakui Taiwan kekal sebagai “buah hati” kepada Xi, namun menegaskan, Beijing tidak akan berani bertindak kerana menyedari kekuatan ketenteraan AS.
“Kita memiliki yang terbaik dalam semua aspek dan tiada siapa akan berani mencabar itu,” tegasnya.
Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan sama ada sokongan AS terhadap Taiwan akan dikorbankan sebagai sebahagian daripada rundingan dengan China.
Pada Jun lalu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth menyifatkan China sebagai “ancaman kepada rantau ini” dalam Forum Dialog Shangri-La di Singapura - kenyataan yang pantas dibalas keras oleh Beijing.
“Kami menasihatkan AS supaya tidak berangan untuk menggunakan isu Taiwan sebagai alat tawar-menawar atau bermain api,” kata jurucakap Kementerian Luar China dalam satu kenyataan.
Ancaman berterusan terhadap Taiwan
China menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan tidak menolak kemungkinan penggunaan kekerasan bagi mengembalikan pulau itu di bawah kawalan Beijing.
Tentera China secara berkala menghantar jet pejuang dan kapal perang ke sekitar ruang udara serta perairan Taiwan, selain menganjurkan latihan berskala besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Walaupun kebanyakan negara termasuk AS tidak mengiktiraf Taiwan sebagai negara berdaulat, Washington kekal sebagai penyokong utama demokrasi dan pusat teknologi itu.
Mengikut undang-undang AS, Washington perlu membekalkan senjata bagi tujuan pertahanan diri Taiwan, namun pendirian sama ada AS akan campur tangan secara ketenteraan kekal samar.
Bekas Presiden AS, Joe Biden sebelum ini beberapa kali memberi bayangan beliau akan mengarahkan tentera AS bertindak sekiranya China menyerang Taiwan.
Awal bulan ini, Presiden Taiwan, William Lai Ching-te pula berikrar membangunkan sistem pertahanan udara berbentuk kubah bagi menghadapi “ancaman bermusuhan” dan meningkatkan perbelanjaan pertahanan negaranya. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami