IPOH: Kerajaan Perak akan menutup taska, tadika dan pusat jagaan di negeri ini, sekiranya kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) menunjukkan angka yang membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, setakat ini belum ada taska, tadika dan pusat jagaan yang ditutup susulan peningkatan kes tersebut.

"Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan sentiasa pantau supaya tempat-tempat yang menjaga kanak-kanak ini menjaga kebersihan di premis masing-masing.

"Sampai ke tahap kalau kena tutup (taska,tadika dan pusat jagaan) kita akan tutup. Pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan tutup, setakat maklumat yang saya dapat belum ada lagi (ditutup).

"Kita akan kemas kini dari semasa ke semasa berhubung kes HDMD di Perak. Setakat 30 April terdapat peningkatan sehingga 10 kali ganda (kes) berbanding tahun lepas," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika hadir Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual dan Majlis Penyerahan Lesen Sempena Sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa Peringkat Negeri Perak, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak, Abdul Aziz Parmin.

Dalam pada itu, Mohd Akmal turut berharap semua pihak khususnya yang terlibat secara langsung dengan penjagaan kanak-kanak untuk lebih berjaga-jaga bagi mengelakkan kes meningkat.

Sebelum ini, media melaporkan, Perak mencatatkan sebanyak 1,636 kes HFMD sehingga minggu epid ke-17 tahun ini, yang berakhir pada 30 April lalu.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10.6 kali ganda berbanding minggu epid yang sama tahun lalu, iaitu hanya 140 kes.

Peningkatan penularan itu menimbulkan kebimbangan dan kerisauan dalam kalangan warga Perak, khususnya ibu bapa yang mempunyai anak berumur kurang enam tahun.

Pada Rabu, dilaporkan sebanyak 12 pusat jagaan kanak-kanak di Melaka ditutup selepas mencatatkan 1,378 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) setakat 14 Mei lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata peningkatan semula bilangan kes HFMD yang dilaporkan adalah selepas cuti Hari Raya Aidilfitri yang berlaku atas faktor pergerakan dan taska, tadika serta pusat penjagaan beroperasi semula.