Skip to main content

Malaysia

Hikmah al‑Fatihah membawa ke Baitullah: Perjalanan muallaf menjadi tetamu Allah

muallaf, haji, Mohamad Zamarul Hafiz Ho (Credit: Astro AWANI)
Mohamad Zamarul Hafiz Ho, jemaah haji dari Kedah, bercakap kepada media ketika ditemui di sini. - Foto Astro AWANI

MEKAH: Di Tanah Suci, jutaan manusia melangkah dalam arah yang sama. Mereka berpakaian serupa, menyebut lafaz yang sama, menghadap kiblat yang sama. Namun hakikatnya, setiap insan membawa perjalanan yang berbeza, ada yang singkat, ada yang panjang, ada yang penuh luka.

Kisah Mohamad Zamarul Hafiz Ho, jemaah haji dari Kedah, adalah antara perjalanan yang lahir daripada sunyi, diuji dengan kehilangan, dan dipandu sepenuhnya oleh kepercayaan kepada Tuhan.

Advertisement

Dia tidak dilahirkan sebagai Muslim. Islam hadir dalam hidupnya secara perlahan, tanpa paksaan, tanpa hujah panjang. Hanya dengan mendengar al‑Fatihah.

“Saya dulu selalu duduk luar masjid waktu Maghrib. Duduk saja. Santai. Tapi bila dengar orang baca al‑Fatihah, bila sampai ‘Amin’ semua jawab bersama‑sama… hati saya tersentuh,” katanya.

Dia sendiri tidak tahu mengapa. Perasaan itu datang tanpa sebab yang jelas, tetapi cukup kuat untuk membuatkan dia berfikir.

“Ada rasa macam tenang. Islam tu nampak bersatu. Tak macam agama lain yang ikut masing‑masing. Ini semua satu saf, satu bacaan, satu Tuhan.”

Daripada sekadar mendengar dari luar, dia mula melangkah ke dalam masjid perlahan‑lahan, diam‑diam. Dia duduk di belakang, memerhati. Apabila diajak solat, dia ikut sahaja walaupun tidak tahu membaca.

“Al‑Fatihah pun saya tak tahu. Orang kata ikut saja. Tapi peliknya, masa tu saya rasa seronok. Rasa selesa.”

Dari situlah langkah kecil bertukar menjadi tekad besar. Dia mula mencari, belajar sendiri, menulis bunyi bacaan satu persatu, memahami maksudnya, membiasakan diri dengan doa dan solat. Hingga akhirnya pada tahun 2006, dia memeluk Islam secara senyap, tanpa pengetahuan keluarga.

Namun hidayah tidak datang tanpa harga.

Apabila keluarganya tahu, semuanya berubah. Rumah diambil, kereta dirampas, hubungan terputus. Dia diarahkan keluar tanpa alternatif.

“Masa tu memang tak ada pilihan. Kosong. Betul‑betul kosong.”

Ketika hidupnya runtuh, isterinya tetap bersama. Mereka membina hidup dari awal, sama‑sama susah, sama‑sama berlapar, sama‑sama belajar berdiri semula.

Dia mendapatkan bantuan badan kebajikan Muslim Cina sebelum memilih untuk berpindah ke Kedah.

“Saya boleh pilih mana‑mana negeri. Akhirnya saya pilih Kedah. Di situlah saya dan isteri belajar hidup semula.”

Hidup mereka sederhana. Makan apa yang ada. Kerja apa yang mampu. Namun isterinya tidak pernah mengeluh.

Dalam keadaan terasing itu, dia mendapatkan bantuan badan kebajikan Muslim Cina. Dia diberi peluang memilih ke mana hala tuju hidupnya seterusnya Pulau Pinang, Kedah, negeri lain. Akhirnya dia memilih Kedah.

“Saya pilih Kedah sebab suasana dia tenang. Di situlah saya belajar hidup dari awal. Belajar jadi manusia.”

Hidup sederhana menjadi teman setia. Makan seadanya, kerja apa sahaja yang ada, berniaga kecil‑kecilan. Tetapi dalam kesempitan itu, dia tidak pernah melepaskan satu perkara doa untuk ibu dan ayahnya.

Image
muallaf, haji, Mohamad Zamarul Hafiz Ho (Credit: Astro AWANI)
Menurut Mohamad Zamarul, ketika hidupnya runtuh, isterinya tetap bersama. - Foto Bernama

Doa itu paling kuat terucap ketika pertama kali dia tiba di Tanah Suci untuk menunaikan umrah pada tahun 2011.

“Depan Kaabah, saya tak minta apa‑apa. Saya doa satu saja, Ya Allah, Islamkanlah mak ayah aku.”

Doa itu tidak dijawab serta‑merta. Tetapi Allah menjawabnya dengan cara yang halus dan sempurna.

Sedikit demi sedikit, hubungan dipulihkan. Pelukan menggantikan jarak. Kasih sayang menggantikan kecurigaan. Akhirnya, ibu dan bapanya sendiri menyatakan keinginan untuk memeluk Islam.

“Itu bukan kerja saya. Itu kerja Allah.”

Perjalanan menuju haji pula adalah perjuangan yang panjang dan penuh paksaan terhadap diri sendiri. Dia sedar, haji bukan impian yang datang secara tiba‑tiba, ia memerlukan disiplin.

“Buka akaun Tabung Haji dengan RM10. Tak ada duit. Tapi paksa simpan. RM200 sebulan. Ada lebih sikit, terus masuk.”

Dia bekerja sebagai pembuat roti, meniaga kek, berniaga apa sahaja yang halal dan mampu dibuat. Perniagaan jatuh bangun. Ujian datang silih berganti, termasuk PKP yang hampir mematikan sumber rezekinya. Namun keyakinannya tetap satu.

“Kalau buat jujur, Allah tak tinggal. Kita cuma kena yakin betul‑betul.”

Keyakinan itulah yang akhirnya membawa dia ke musim Haji ini berdiri di bumi yang selama ini hanya didengar dalam cerita dan doa.

Apabila ditanya perasaannya berada di Mekah dan Madinah, dia terdiam lama.

“Tenang… tapi rasa kecil. Kita ni rupanya tak ada apa‑apa.”

Image
muallaf, haji, Mohamad Zamarul Hafiz Ho (Credit: Astro AWANI)
Mohamad Zamarul sedar, haji bukan impian yang datang secara tiba‑tiba, ia memerlukan disiplin. - Foto Astro AWANI

Sebelum Islam, dia pernah menilai orang yang pergi ke Mekah sebagai membazir, sanggup belanja jauh untuk sesuatu yang tidak difahami.

“Hari ini, bila saya sampai sendiri, baru saya faham. Ini bukan perjalanan biasa. Ini perjalanan hati.”

Bagi dia, Haji bukan tentang hebat atau bangga. Ia tentang kembali menyedari siapa diri ini sebenarnya, hamba yang penuh kekurangan.

Dia menitipkan pesan kepada generasi muda:

“Kalau muda, simpan sekarang. Paksa diri. Jangan tunggu tua. Haji ni wajib bila mampu. Kalau niat kita ‘mesti’, bukan ‘nak’, kita akan cari jalan.”

Dari al‑Fatihah yang didengar tanpa sengaja, ke Baitullah yang kini berada di hadapan mata, perjalanan Mohamad Zamarul Hafiz Ho adalah bukti bahawa:

Hidayah datang tepat pada waktunya.

Dan Allah tidak pernah mensia-siakan langkah orang yang terus berusaha.

Must Watch Video