WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth mengarahkan pengunduran kira-kira 5,000 anggota tentera AS dari Jerman, menurut Pentagon pada Jumaat, dua hari selepas Presiden Donald Trump berkata pentadbirannya sedang mempertimbangkan pengurangan anggota tenteranya di negara sekutu itu.
Ketua jurucakap Pentagon Sean Parnell mengeluarkan kenyataan mengenai pengurangan itu, yang menurutnya dijangka selesai dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang. AS mempunyai kira-kira 36,000 anggota tentera yang ditempatkan di Jerman.
Advertisement
“Setiausaha Pertahanan mengarahkan pengunduran kira-kira 5,000 anggota tentera dari Jerman,” kata Parnell dalam kenyataan yang dihantar kepada Agensi Berita Yonhap.
“Keputusan ini dibuat selepas semakan menyeluruh terhadap kedudukan penempatan pasukan jabatan itu di Eropah dan mengambil kira keperluan operasi di rantau berkenaan serta keadaan semasa di lapangan,” tambahnya.
Langkah itu dibuat selepas ketegangan meningkat antara Trump dan Canselor Jerman Friedrich Merz minggu ini.
Semasa pertemuan dengan pelajar pada Isnin, Merz dilaporkan berkata kepimpinan Iran “menghina” AS dan bahawa Washington dilihat tidak mempunyai strategi yang meyakinkan dalam rundingan dengan Tehran untuk menamatkan perang Asia Barat.
Trump membalas kenyataan itu dengan mendakwa di Truth Social bahawa canselor Jerman itu berpendapat adalah “boleh diterima” bagi Iran memiliki senjata nuklear dan bahawa beliau “tidak tahu apa yang diperkatakannya”.
Arahan pengunduran itu dibuat selepas Trump berulang kali mengkritik anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kerana tidak memenuhi gesaannya supaya memberikan bantuan tentera laut bagi membantu menjamin keselamatan laluan penting Selat Hormuz yang secara berkesan disekat Iran melalui serangan balas peluru berpandu dan dron.
Trump menyifatkan NATO sebagai “penakut”, sambil berkata AS akan “mengingati” keengganan anggotanya untuk menyokong kempen ketenteraan AS terhadap Iran.
Beliau juga menegur Korea Selatan kerana “tidak membantu” AS, sambil menyatakan bahawa Amerika telah menempatkan tenteranya “dalam keadaan berbahaya” di negara Asia itu yang terletak “bersebelahan” dengan kekuatan nuklear Korea Utara.
Kira-kira 28,500 anggota tentera AS ditempatkan di Korea Selatan sebagai elemen utama pencegahan terhadap ancaman Korea Utara yang semakin meningkat. Seoul dan Washington sedang berusaha “memodenkan” pakatan dua hala mereka, yang menurut penganalisis boleh membawa kepada pelarasan kedudukan penempatan pasukan AS di Semenanjung Korea.
Seorang pegawai Pentagon enggan mengulas kemungkinan perubahan kedudukan penempatan pasukan AS di Korea Selatan, namun menegaskan komitmen pertahanan AS yang “tidak berbelah bahagi” terhadap sekutu Asia itu.
-- BERNAMA-YONHAP