KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Pas untuk mengadakan himpunan solidariti bagi membantah tindakan penghinaan Islam dilakukan ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan sebagai agak terlewat. 

Ia berikutan katanya, kerajaan telah membuat kenyataan tegas berhubung tindakan itu.

"Jika Pas mahu (bertindak) mengikut cara mereka, mereka boleh lakukannnya. Namun, kita di pihak kerajaan telah melakukan (tindakan) sewajarnya. Kami telah memanggil pihak kedutaan dan memberikan suatu penjelasan dan kenyataan kerajaan sangat kuat.

"Pas agak terlewat (bertindak) namun ia bukan satu masalah kepada kita," katanya kepada media selepas melancarkan buku himpunan esei " Knowledge, Tradition and Civilization: Essays In Honour of Professor Osman Bakar" di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), UIAM Kampus Kuala Lumpur di sini pada Khamis. 

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, cadangan mengadakan himpunan solidariti itu terserah kepada Pas untuk menyatakan pendirian mereka. 

"Itu protes Pas. Kita ada hak untuk melakukannya. Namun, mereka perlu memahami mengenai isu susulan protes berkenaan dan mereka perlu menyatakan pendirian mereka," ujarnya. 

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad  Yahaya  berkata, himpunan solidariti dianjurkan parti itu akan bermula di Menara Berkembar (KLCC) sebelum berarak ke Kedutaan Sweden, esok.