IPOH: Penganjur dan peserta Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia yang dirancang diadakan di hadapan Kompleks Sogo di ibu negara, pada Sabtu mungkin berhadapan tindakan undang-undang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ini kerana penganjur perhimpunan berkenaan sehingga kini tidak membuat sebarang permohonan.

Katanya, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlu membuat permohonan mengikut prosedur di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dalam tempoh lima hari sebelum acara.

“Saya harap mereka (penganjur) buat (anjurkan perhimpunan itu) ikut prosedur, kalau tidak ikut prosedur, kita akan ambil tindakan.

“Hari terakhir untuk mereka buat permohonan adalah hari ini iaitu lima hari sebelum hari penganjuran acara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Hari Ulang Tahun Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ke-44 di Pangkalan Latihan PGU, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd. Manan serta Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim.

Dalam pada itu, Ayob Khan menegaskan selain polis, penganjur juga turut perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Dalam konteks ini, saya difahamkan perhimpunan itu akan diadakan di kawasan Sogo, oleh itu mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Sogo dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Selain itu, mestilah tiada bantahan daripada masyarakat sekitar seperti pemilik-pemilik kedai atau Sogo sendiri yang akan buat bantahan dalam tempoh 48 jam. Itu syarat yang perlu dipenuhi oleh mana-pihak yang ingin membuat perhimpunan" katanya.

Pada Ahad, media melaporkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bakal mengadakan Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia di hadapan Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur Sabtu ini.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata, kempen dijadual bermula pukul 2 petang itu bertujuan membuka mata rakyat berkenaan isu semasa termasuk kes pelepasan pertuduhan 47 kes rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.