Perhimpunan 'Selamatkan Negeri Selangor daripada Kerajaan Pakatan' anjuran Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Malaysia yang dijadual pada 11 Oktober ditunda kepada 18 Oktober.

Pengerusinya, Datuk Jamal Md Yunus berkata pihaknya terpaksa menunda tarikh himpunan tersebut bagi memenuhi syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kita di Ampang bukan batal, tapi tangguhkan kepada 18 Oktober.

"Sepatutnya minggu ini, tapi semalam kita telah berbincang dengan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di mana syarat untuk mengadakan perhimpunan mesti 10 hari sebelum permohonan dibuat.

"Demi menghormati polis dan undang-undang sedia ada, kami telah ubah tarikh itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Tambah Jamal, notis permohonan penganjuran perhimpunan telah diserahkan kepada polis dan pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"18 haribulan ini kami tetap akan buat permohonan; kita sudah hantar semalam. Kami telah terima cop pada surat itu bertarikh semalam (7 Oktober). Kalau ikutkan, cukup 10 hari sebagai syarat untuk kami adakan perhimpunan.

"Soal Majlis (MPAJ) lulus atau tidak, itu lain cerita. Kita akan tetap teruskan perhimpunan," tegas Jamal yang menjangkakan sekitar 5,000 peserta akan hadir pada perhimpunan itu.

Katanya, Ampang menjadi lokasi pertama perhimpunan berkonsepkan jelajah itu yang turut diadakan di beberapa tempat di Selangor pada masa akan datang.

Memetik laporan The Star, perhimpunan yang dijadualkan di Melaka pada Sabtu ini dibatalkan penganjur Gerakan Merah 1Malaysia yang diketuai Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju.

Pembatalan itu dibuat atas rasa hormat pihak penganjur kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob yang menyambut ulang tahun kelahiran pada hari tersebut.

Memetik laporan The Star semalam, polis berkata kedua-dua penganjur perhimpunan tersebut masih belum mengemukakan notis selaras dengan kehendak Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Oleh itu, sebarang perhimpunan besar-besaran oleh mana-mana pihak di Taman Melaka Raya adalah haram dan polis akan melindungi kepentingan awam," kata Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye sepertimana dipetik oleh The Star.

Ali Tinju sebelum ini dilaporkan memberi amaran kononnya kawasan di sekitar Taman Melaka Raya "tidak selamat" pada Sabtu ini.