KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA - Muar) mendakwa keputusan melepas tanpa bebas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merupakan “pembohongan besar peringkat nasional.”

Tegas Ahli Parlimen Muar itu, sebelum ini apa yang sering dilaungkan pemerintah ialah mahu melawan rasuah, tidak akan menggugurkan kes dan mahu penjarakan kleptokrat.

Bagaimanapun, kata Syed Saddiq, realiti yang berlaku hari ini berbeza dengan apa yang dilafazkan sebelum menjadi pemerintah.

Beliau berkata demikian dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa ketika mencelah apabila beberapa Ahli Parlimen dari pembangkang meluahkan rasa tidak puas hati kerana tidak dibenarkan membahas usul tergempar.

“Sebab itu saya perlu betulkan… kalau kita dalam Dewan ini dibisukan mulut, tidak boleh kritik kerajaan tanpa sangka jahat, bagaimana kita ingin bicarakan soal rakyat.

“Walhal, tahun 2015, 70 Ahli Parlimen dalam Dewan ini sendiri, di blok pembangkang, yang bicarakan soal hakim di mahkamah…sebelum itu soal 1MDB…serangan ke atas Peguam Negara.

“Semua boleh mereka bangkitkan. Kini berada dalam kerajaan… hipokrit,” selar Syed Saddiq.