Skip to main content

Malaysia

Sultan Nazrin berkenan sempurna perasmian IPD Muallim

Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim hari ini. Foto Bernama
Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim hari ini. Foto Bernama

Advertisement

TANJONG MALIM: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini, hari ini. 

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah turut berangkat ke majlis berkenaan. 

Keberangkatan tiba baginda berdua pada 10 pagi diiringi Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah. 

Sultan Nazrin juga berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Utama daripada Pasukan Simpanan Persekutuan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat, diketuai oleh DSP Mohd Farid Mohd Anuar, dibantu ASP Muhammad Dahlan Dhana Abdullah, manakala pegawai pembawa panji-panji ialah Inspektor Muhammad Arwin Fazril Nor Ali.

Shamsul Anuar semasa sembah ucapan mewakili Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata daerah Muallim bukanlah sekadar satu unit pentadbiran di bawah naungan Sultan Perak, nama Muallim itu sendiri membawa erti ilmuan dan pendidik, satu cerminan khazanah Tanjong Malim sebagai kota ilmu yang tersohor, tempat berdirinya Sultan Idris Training College yang kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Shamsul Anuar berkata namun, di sebalik keindahan pendidikannya, daerah ini menyimpan naratif perjuangan yang penuh dengan pengorbanan. Sejarah kepolisan di sini bermula seawal April 1952, ketika negara masih berdepan dengan ancaman pengganas komunis yang kejam. 

Beliau berkata atas arahan Pesuruhjaya Tinggi British ketika itu, Jeneral Sir Gerald Templer, pentadbiran IPD dipindahkan dari Tanjong Malim ke Slim River susulan beberapa kejadian serangan hendap yang mengorbankan nyawa anggota pasukan keselamatan dan orang awam.

“Pada waktu itu, pasukan polis di Slim River hanya beroperasi di balai kecil dengan kekuatan seorang koperal dan tiga anggota. Namun, semangat kepahlawanan mereka tidak pernah luntur. Dari bangunan papan yang ringkas di Babakala Estate, perjuangan itu terus berkembang hingga era 1980-an apabila kompleks IPD baharu dibina di Slim River untuk menampung keperluan operasi yang semakin mencabar,” katanya. 

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata perkembangan pesat daerah Muallim yang merangkumi Tanjong Malim, Slim River, Behrang, Trolak dan Proton City menuntut kesiapsiagaan pasukan polis yang jauh lebih dinamik. 

Beliau berkata selaras dengan pengisytiharan Muallim sedekad yang lepas, kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk membangunkan kompleks IPD Muallim yang moden bagi menyokong tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kian mencabar.

“Projek ini, yang dimulakan pada 27 Dis 2017, ialah satu pelaburan kerajaan bernilai RM85 juta. Kompleks yang tersergam indah di atas tapak seluas kira-kira 11.34 hektar ini telah siap sepenuhnya pada 30 Jun 2022. 

“Kompleks ini bukan sahaja bangunan pentadbiran, tetapi juga menjadi hab operasi yang dilengkapi dengan teknologi terkini, sistem komunikasi yang efisien dan kemudahan sokongan yang kondusif. Penyerahan projek ini pada 15 Okt 2022 merupakan detik bermulanya era baharu bagi pentadbiran dan operasi keselamatan di seluruh daerah Muallim,” katanya. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement