Skip to main content

Malaysia

Tangguh cukai karbon beri ruang sementara industri sesuaikan operasi, elak kos tambahan – FOMCA

Kata Saravanan industri tidak sepatutnya menggunakan alasan cukai karbon yang belum dilaksanakan untuk mengenakan kenaikan harga kerana sebarang kenaikan kos sebenar pula perlu dijelaskan secara telus. - Gambar FOMCA
Kata Saravanan industri tidak sepatutnya menggunakan alasan cukai karbon yang belum dilaksanakan untuk mengenakan kenaikan harga kerana sebarang kenaikan kos sebenar pula perlu dijelaskan secara telus. - Gambar FOMCA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Penangguhan cukai karbon boleh memberi ruang sementara kepada industri yang bakal terlibat untuk menyesuaikan operasi dan mengelakkan kos tambahan dalam jangka pendek.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. Saravanan Thambirajah berkata, namun, manfaat kepada pengguna bergantung pada sejauh mana keadaan itu membantu mengekalkan harga yang berpatutan.

Jelasnya, perlu dibezakan dua keputusan itu iaitu penangguhan cukai karbon melibatkan kos berkaitan pelepasan karbon, manakala pemberhentian pengecualian menyeluruh di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) melibatkan pematuhan industri terhadap kawalan pencemaran udara.

“Penangguhan cukai tidak bermaksud tanggungjawab mengawal pencemaran turut ditangguhkan.

“Bagi sektor besi, keluli dan tenaga yang menjadi tumpuan awal cadangan cukai karbon, penangguhan ini berpotensi mengurangkan tekanan kos berbanding jika cukai dilaksanakan sekarang.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menjamin bahawa harga besi, bahan binaan atau elektrik akan kekal stabil hanya kerana cukai tersebut ditangguhkan. Harga turut dipengaruhi kos bahan mentah, bahan api, kadar pertukaran, pengangkutan dan keadaan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kerajaan tidak lagi akan memberikan pengecualian secara menyeluruh kepada pemain industri daripada mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih), dengan kebanyakan pengecualian sedia ada dijangka tamat menjelang Januari tahun depan.

Arthur berkata, industri yang memerlukan tempoh tambahan untuk mematuhi peraturan hanya akan diberikan lanjutan sementara sekiranya mereka dapat membuktikan bahawa langkah konkrit telah diambil untuk memasang teknologi kawalan pelepasan.

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat bagi memastikan tiada lagi pengecualian berterusan diberikan kepada sektor industri dalam mematuhi piawaian udara bersih.

Dalam pada itu, Saravanan menegaskan, FOMCA mahu kerajaan memantau sama ada ruang yang diberikan kepada industri turut memberi manfaat kepada pengguna.

Katanya, industri tidak sepatutnya menggunakan alasan cukai karbon yang belum dilaksanakan untuk mengenakan kenaikan harga kerana sebarang kenaikan kos sebenar pula perlu dijelaskan secara telus.

“FOMCA turut menyokong langkah menghentikan pengecualian menyeluruh terhadap kawalan pencemaran udara. Lanjutan sementara hanya wajar dipertimbangkan bagi pengusaha yang menunjukkan langkah nyata untuk memasang teknologi kawalan pelepasan.

“Pendekatan ini perlu disertai pemeriksaan, pemantauan dan tindakan susulan yang konsisten,” ujarnya.

Pada masa sama kata Saravanan, rakyat bukan sahaja membeli barangan dan menggunakan perkhidmatan, malah mereka juga berhak menikmati udara bersih kerana manfaat kepada masyarakat mesti dinilai melalui kemampuan membeli, kualiti alam sekitar dan perlindungan kesihatan.

Jelasnya, harga yang berpatutan tidak seharusnya dicapai dengan mengabaikan tanggungjawab mengawal pencemaran.

“Tempoh penangguhan perlu digunakan untuk meningkatkan kecekapan tenaga, menyediakan data pelepasan yang boleh disahkan dan melabur dalam teknologi lebih bersih.

“FOMCA mencadangkan kerajaan menetapkan hala tuju serta jadual pelaksanaan yang jelas supaya industri boleh membuat persediaan dan pengguna tidak berdepan kejutan kos apabila cukai diperkenalkan,” jelasnya.

Katanya lagi, apabila cukai karbon dilaksanakan kelak, perlindungan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana perlu dirancang sejak awal.

FOMCA juga mencadangkan hasil cukai digunakan secara telus untuk membantu peralihan tenaga, meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan mengurangkan beban pengguna yang rentan.

“Penangguhan cukai karbon boleh membantu mengurangkan tekanan kos sementara, tetapi ia bukan jaminan harga lebih murah.

“Industri mesti menggunakan ruang ini untuk membuat persediaan, sementara kerajaan memastikan pengguna mendapat manfaat dan tanggungjawab mengawal pencemaran terus dipatuhi,” tegasnya.

Must Watch Video

Advertisement