KUALA LUMPUR: Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini menerima 125 unit mesin 'oxygen concentrator' atau pemekat oksigen yang disumbangkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Pengarah HKL, Dr Rohana Johan berkata, peralatan tersebut bukan sahaja untuk kegunaan pesakit COVID-19, tetapi juga membantu proses pemulihan bekas pesakit COVID-19 yang menjalani rawatan di rumah masing-masing.

Difahamkan, sebanyak 75 lagi unit pemekat oksigen dijangka dihantar oleh UNICEF dalam masa terdekat menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 200 unit.

"Sepertimana kita tahu kebanyakan pesakit COVID-19 yang mendapat jangkitan paru-paru mungkin perlu menggunakan oksigen lebih lama. Dengan adanya sumbangan pemekat oksigen daripada UNICEF ini, pasti akan memberi mereka satu keceriaan di mana mereka dapat kembali ke rumah mereka bersama keluarga di dalam proses pemulihan.

"(Mesin ini) akan dipinjamkan dan kita ada tatacara pinjaman serta tatacara bagaimana kita memantau pesakit itu semasa mereka berada di rumah.

"Insya-Allah, (ia akan memanfaatkan pesakit) lebih daripada apa yang diberi," katanya kepada pemberita di Lobi Utama HKL, di sini hari ini.

Hadir sama wakil UNICEF ke Malaysia dan Brunei Darussalam, Dr Rashed Mustafa Sarwar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Mohd Mokhtar Tahar.

Selain pemekat oksigen, UNICEF turut menyumbang 18,000 peralatan perubatan lain iaitu kanula hidung aliran tinggi sebanyak 6,000 unit; topeng muka oksigen venturi (6,000 unit); serta topeng muka aliran tinggi (6,000).

Jelas Dr Rohana, HKL akan turut memberikan mesin pemekat oksigen kepada hospital-hospital lain yang memerlukan.

Mengenai bilangan pesakit COVID-19 yang dirawat di HKL pula, beliau berkata, jumlah itu mula menunjukkan trend penurunan sejak sebulan lalu termasuk kes-kes melibatkan kategori 4 dan 5.

"Sudah tentu kes-kes yang memerlukan rawatan di dalam hospital juga menurun. Justeru itu, penggunaan katil-katil untuk pesakit COVID-19 di hospital juga berkurangan.

"Sebagai sebuah hospital hibrid, kita pada waktu yang sama meneruskan perkhidmatan (pesakit bukan COVID-19) tetapi pada skala yang kecil.

"Pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan terus diberi dan KKM juga telah membenarkan kita, di mana pesakit-pesakit yang masuk yang bukan COVID-19 dan memerlukan rawatan segera dihantar keluar dan boleh dirujuk ke hospital-hospital swasta," katanya.

Sementara itu, Dr Rashed Mustafa berkata, UNICEF sedang giat bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pakar nutrisi dan kesihatan mental dalam memerangi pandemik COVID-19.

Jelas beliau, UNICEF juga bercadang memberikan sumbangan peralatan perubatan ke kawasan di luar Lembah Klang.

"UNICEF mahu perkara ini diteruskan bagi membantu melengkapkan fasiliti hospital (bagi memanfaatkan) penduduk dan kanak-kanak di negara ini," katanya.

Selain HKL, UNICEF turut memberikan sumbangan yang sama kepada Hospital Selayang.