Persekitaran stabil, dasar konsisten dan sokongan pacu kemajuan PKS

PKS masih menghadapi cabaran seperti masalah pendigitalan yang tidak sekata, kos operasi yang tinggi, dan persaingan serantau yang meningkat. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang dianggap sebagai tulang belakang ekonomi menunjukkan perkembangan pada tahun ini selepas dipacu oleh persekitaran ekonomi yang lebih stabil dan pemulihan secara beransur dalam permintaan domestik, yang meningkatkan keyakinan perniagaan serta jualan di seluruh sektor.
Ringkasan AI
- PKS menunjukkan perkembangan positif pada tahun ini berkat persekitaran ekonomi stabil, pemulihan permintaan domestik, dan keyakinan perniagaan yang meningkat.
- Faktor-faktor seperti dasar kerajaan konsisten, sokongan kerajaan yang bersasar, serta permintaan pengguna yang kukuh dalam sektor tertentu turut mengukuhkan kemajuan PKS.
- Namun, PKS masih menghadapi cabaran seperti masalah pendigitalan yang tidak sekata, kos operasi yang tinggi, dan persaingan serantau yang meningkat, sementara prospek PKS pada tahun depan dipengaruhi oleh Belanjawan 2026 yang menyokong serta kestabilan ekonomi.
Selain itu, trajektori menaik mereka juga dibantu dengan permintaan pengguna yang semakin mantap dalam sektor terpilih seperti runcit, makanan dan minuman, logistik, perkhidmatan profesional serta subsektor pembuatan tertentu, terutamanya selepas inflasi mula berkurangan.
Sokongan dan Kemajuan Pendigitalan PKS
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA), Datuk William Ng memberitahu Bernama bahawa walaupun PKS sedang mencatatkan kemajuan tahun ini, prestasi mereka tetap tidak sekata, dengan perniagaan mikro dan kecil, terutama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, masih berhadapan dengan margin yang agak terhad, masalah buruh serta penerimaan pendigitalan yang masih perlahan.
Beliau ketika mengulas mengenai pendigitalan PKS memberitahu ia bertambah baik pada 2025, walaupun kemajuannya masih tidak merata di seluruh sektor dan saiz.
"Penambahbaikan yang paling ketara boleh dilihat dalam pembayaran digital dan penerimaan e-dagang, perakaunan dan pendigitalan upah, automasi peringkat awal dalam pembuatan dan logistik serta penggunaan perancangan sumber perusahaan berasaskan awan (ERP) di kalangan PKS pertengahan.
"Inisiatif kerajaan yang berfungsi dengan baik adalah seperti Geran Pendigitalan PKS, pembiayaan Pembuatan Pintar dan Automasi melalui SME Bank, Teknologi Kerajaan (GovTech) serta sokongan perpindahan e-invois," katanya.
Ng berkata potongan cukai 50 peratus yang baru diumumkan untuk kecerdasan buatan (AI) termasuk latihan keselamatan siber menunjukkan kerajaan serius mengenai kemahiran bernilai tinggi, yang telah membantu meningkatkan kesedaran pematuhan digital dan ini wajar diteruskan.
"Pendigitalan bukan projek setahun, ia adalah transformasi berbilang tahun, terutamanya untuk firma yang lebih kecil. Kami mengesyorkan geran ini diperluaskan bagi menampung alat berasaskan langganan, membahagikan penghantaran melalui bank-bank dan persatuan industri, selain memudahkan proses untuk PKS mikro," katanya.
Cabaran dan Pencapaian
Katanya, 2025 telah menjadi tahun yang penting kepada PKS memandangkan Malaysia yang merupakan pengerusi ASEAN telah membuka pintu untuk integrasi serantau yang lebih besar, dengan inisiatif utamanya adalah rangka kerja fasilitasi rentas sempadan ASEAN yang akan datang dan perjanjian rangka kerja ekonomi digital, kedua-duanya dijangka akan memperdalamkan perdagangan antara ASEAN.
"SAMENTA, bersama-sama dengan rakan sejawat kami di negara-negara anggota ASEAN yang lain, turut telah menubuhkan Kaukus PKS ASEAN, yang akan mendorong inisiatif sektor swasta untuk mempromosikan perdagangan intra-ASEAN di kalangan PKS kami, memperkasakan pendigitalan dan bekerja dengan matlamat yang sama dalam peralihan hijau dan kitaran," katanya.
Bagaimanapun, PKS masih menghadapi cabaran yang sama dengan yang ada pada 2024 iaitu kos operasi logistik, utiliti, pematuhan dan buruh yang lebih tinggi.
"Kami juga menghadapi masalah mudah tunai disebabkan kitaran pembayaran yang agak perlahan dan selera risiko yang lebih berhati-hati di kalangan peminjam. Tekanan pematuhan juga bertambah khususnya dengan jangkaan e-invois, alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta pensijilan industri. Saingan serantau, terutamanya dari Indonesia dan Vietnam, juga turut meningkat," katanya.
Walaupun demikian, Ng berkongsi beberapa pencapaian yang ketara seperti pengiktirafan Malaysia sebagai hab utama bagi perkhidmatan digital dan kepelbagaian rantaian bekalan dan kemajuan berterusan dalam pembangunan industri halal, terutamanya dalam piawaian serta pensijilan di seluruh ASEAN.
"Kemajuan Malaysia dalam pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura juga telah meletakkan PKS di Johor di barisan hadapan peluang pengembangan serantau," katanya.
Unjuran 2026
Beliau berkata SAMENTA secara berhati-hati amat optimis mengenai prospek PKS pada tahun depan, yang mana prestasi mereka akan dipengaruhi oleh tiga faktor utama termasuk Belanjawan 2026 yang menyokong dan kestabilan ekonomi.
"Belanjawan 2026 amat menyokong secara berstruktur, dengan fokus yang kuat untuk mewujudkan mudah tunai kepada PKS selain pemacuan peralihan hijau dan penerimaan AI.
"Kami juga melihat ekonomi menjadi agak stabil dengan pengurangan defisit belanjawan dan ketiadaan pengenalan sebarang cukai baharu.
"Sebagai persatuan PKS tertua dan terbesar di Malaysia, SAMENTA akan terus menyokong PKS untuk menerima pakai pendigitalan, automasi, pensijilan dan perkongsian serantau untuk berkembang lebih cepat berbanding cuba mengekalkan minda domestik semata-mata," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


