Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang mengingatkan semua pihak agar sentiasa menghormati undang-undang negara dan tidak mudah menjatuhkan hukuman terhadap seseorang tanpa bukti kukuh.

Pada masa ini, katanya, banyak pihak dilihat terlalu mengikut perasaan dan mudah menjatuhkan hukuman terhadap seseorang walaupun belum didapati bersalah.

"Saya nak ingatkan anda boleh kata apa saja, tetapi kedaulatan undang-undang perlu dijaga. Seseorang yang tidak dibuktikan bersalah tidak boleh dijatuhkan hukuman," katanya, merujuk beberapa kes dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan kepimpinan negara.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku 'Dayak Woman In The House' tulisan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Doris Sophia Ahmad Brodie, di sini.

Buku berkenaan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Masing.

Buku 'Dayak Woman In The House' mengandungi pelbagai rentetan kisah Doris Sophia sepanjang menjawat jawatan sebagai anggota Dewan Negara dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara.

Doris Sophia, yang dilantik sebagai Senator pada 12 Mac 2010, merupakan wanita Sarawak pertama dari suku etnik Dayak dilantik Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara pada 26 Feb 2012.

Tempoh perkhidmatan dua penggal beliau sebagai Senator tamat pada Jumaat.

Beliau dilahirkan di Lutong, Miri Sarawak pada 13 Nov 1960 dan memulakan karier sebagai penyambut tetamu di Hospital Miri (1978-1980).

Beliau menceburi bidang korporat selama 17 tahun (1980-1996) bersama Sarawak Shell Berhad dan pernah menjawat beberapa jawatan penting, antaranya Ketua Unit Khidmat Pentadbiran, Jabatan Pengendalian Penggerudian.

Mula menyertai politik pada 1986 dengan menyertai parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) sebelum dilantik menjadi Ketua Wanita PRS pada 2006.