GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi jaminan operasi di semua hospital dan klinik kesihatan di negeri ini tidak akan terjejas sepanjang tempoh gangguan bekalan air yang bermula 10 Januari ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi negeri berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memastikan bekalan air mencukupi dengan menghantar lori tangki ke semua hospital, klinik kesihatan dan hospital swasta di seluruh negeri.

Katanya PBAPP telah membuat pelarasan dengan premis-premis kesihatan berkenaan bagi memastikan tidak berlaku sebarang masalah dalam pengoperasian terutama melibatkan pesakit kritikal.

"Berdasarkan perbincangan kami juga mendapati hospital dan klinik kesihatan (kerajaan) mempunyai simpanan bekalan air untuk kegunaan selama 48 jam namun pihak PBAPP tetap akan menghantar bekalan air melalui lori tangki secara berkala ke semua premis kesihatan tersebut.

Malah PBAPP juga akan menghantar bekalan air ke hospital swasta dan pusat dialisis swasta bagi memastikan kelancaran operasi di premis-premis tersebut dalam memberikan rawatan kepada pesakit," katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, PBAPP mengumumkan kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula 6 pagi 10 Jan hingga 6 pagi 14 Jan, bagi memberi laluan kerja-kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi seluruh Pulau Pinang.

Sementara itu, Gooi berkata Hospital Pulau Pinang (HPP) tidak akan terkesan dengan gangguan bekalan air itu dan semua pengoperasian dijangka berjalan seperti biasa.

Katanya namun beberapa hospital awam yang lain akan ada penjadualan semula untuk pembedahan dan surgeri tidak kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air itu.

"Manakala semua operasi di semua klinik pergigian kerajaan akan ditangguhkan kerana klinik ini perlu menggunakan air yang banyak dalam setiap operasinya terutama ketika memberi rawatan kepada pesakit," katanya.

Beliau berkata bagi kes yang mempunyai janji temu sepanjang tempoh gangguan bekalan air itu mereka akan dibuat penjadualan semula, sama ada janji temu tersebut akan diawalkan atau dilewatkan.

-- BERNAMA