NATIONAL
Hospital Medan Malaysia mula beroperasi di Sagaing, Myanmar

HMM juga mampu melaksanakan dua pembedahan serentak serta merawat pesakit secara menyeluruh. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Hospital Medan Malaysia (HMM) kendalian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula beroperasi pada jam 8.20 pagi hari ini waktu tempatan di daerah Sagaing, antara kawasan paling terjejas akibat gempa bumi.
Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan berkata, hospital yang dilaksanakan ATM menerusi Operasi Bantuan Kemanusiaan (Op STARLIGHT III) itu dilengkapi 20 katil dan wad, bilik pembedahan, ICU, radiologi, makmal serta kepakaran pembedahan am dan ortopedik.
HMM juga mampu melaksanakan dua pembedahan serentak serta merawat pesakit secara menyeluruh.
Perkhidmatan pesakit luar turut ditawarkan dan dijangka menerima antara 80 hingga 100 pesakit sehari, dengan bantuan tiga pegawai perubatan dari Hospital Sagaing.Ketua Menteri Wilayah Sagaing dan Panglima Biro Operasi Khas Wilayah Yangon turut hadir semasa pembukaan operasi.
Dua hari sebelum itu, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar turut meninjau persiapan HMM sebagai tanda sokongan.
Sejak dibuka, HMM menerima aliran pesakit dari kawasan sekitar secara berterusan.
Pembedahan pertama berjaya dilaksanakan pada jam 10.30 pagi.
Penduduk tempatan menzahirkan penghargaan atas usaha Malaysia membantu mereka yang terjejas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami