DUBAI: Masih banyak peluang kerjasama ekonomi dan perdagangan yang dapat dijalankan antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sekali gus boleh membantu syarikat-syarikat negara memasuki pasaran lebih luas di peringkat global.

Duta Besar Malaysia di UAE, Datuk Mohd Tarid Sufian berkata banyak bidang boleh diterokai oleh Malaysia di UAE, namun matlamatnya tidak boleh dilihat kepada UAE semata-mata, sebaliknya kepada pasaran yang lebih besar di luar negara itu.

Beliau berkata UAE terletak di tengah-tengah rantau Timur Tengah dan menyediakan hab logistik bagi wilayah itu selain untuk negara-negara Afrika dan Eropah.

"Malaysia perlu mengambil kesempatan untuk menjadi rakan dagangan dan pelaburan bagi meluaskan jalinan perdagangan dan pelaburan bukan hanya di UAE tetapi seluruh dunia.

"Ia adalah jendela untuk Malaysia melihat dunia secara keseluruhan...jalinan kerjasama bukan hanya UAE tetapi dunia secara amnya," katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke UAE, di sini.

Lawatan Perdana Menteri bermula hari ini hingga 31 Mac dan ia merupakan lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke UAE selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan Malaysia pada 21 Ogos, 2021.

Mohd Tarid berkata UAE merupakan rakan dagang yang penting.

Walaupun dunia bergelut dengan pandemik COVID-19, namun usaha untuk mengembangkan hubungan dua hala Malaysia dan UAE berada pada landasan yang baik terutama menerusi penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2020 Dubai yang berlangsung selama enam bulan sejak Oktober tahun lepas hingga 31 Mac ini, katanya.

"Nilai dagangan telah meningkat dua angka...nilai perdagangan merekodkan US$5.4 bilion tahun lepas. UAE adalah rakan dagang terbesar Malaysia di rantau ini (Timur Tengah)," katanya.

Beliau berkata bagi Ekspo 2020 Dubai, penyertaan di Pavilion Malaysia lebih menjurus kepada pembangunan lestari, alam sekitar dan ekonomi kitar semula.

"Banyak MoU (Memorandum Persefahaman) atau Surat Hasrat telah dimeterai syarikat-syarikat Malaysia dan syarikat asing, bukan hanya terikat dengan UAE...dalam bidang tenaga baharu dan bukan berasaskan fosil yang dilihat sebagai inisiatif mengurangkan kesan karbon. Ini langkah baik dan merupakan peluang yang diambil pada Ekspo 2020," katanya.

Pada hari kedua lawatan di UAE, Ismail Sabri akan melawat Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai dan dijangka turut menyaksikan majlis menandatangani beberapa MoU antara syarikat Malaysia dan syarikat asing.

Berlandaskan tumpuan Pavilion Malaysia bagi mencapai karbon bersih sifar sebagai sebahagian daripada Matlamat Pembangunan Mampan termasuk kemampanan dan tenaga pembaharuan, ia memberikan Malaysia platform terbaik bagi mempamerkan teknologi inovatif dan penyelesaian holistik Malaysia kepada dunia.

-- BERNAMA