KUALA LUMPUR: Arab Saudi dan Malaysia akan menyaksikan perkembangan positif dalam semua bidang pada masa depan, kata Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan.

Beliau berkata kerajaan Saudi di bawah pimpinan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, berminat untuk memperkukuh dan membangunkan hubungan dua hala antara Riyadh dan Kuala Lumpur dalam semua bidang demi kepentingan bersama kedua-dua negara dan rakyatnya.

Duta Besar itu berkata kerajaan Saudi melihat orientasi dan minat yang sama daripada kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Qattan berkata dalam beberapa dekad yang lalu, hubungan Saudi-Malaysia menyaksikan banyak lawatan dan pertemuan antara pemimpin dan pegawai kedua-dua negara.

"Hubungan dua hala yang terjalin sejak penubuhan hubungan diplomatik adalah sangat baik dan menjadi asas untuk membangunkan hubungan masa depan yang lebih baik," katanya dalam satu temubual dengan Bernama sempena Hari Kebangsaan ke-92 negara itu pada 23 Sept.

Kerajaan moden Arab Saudi telah ditubuhkan oleh Raja Abdulaziz Al-Saud pada 1932.

Qattan menjelaskan bahawa Arab Saudi dan Malaysia sudah menjalin hubungan dua hala sejak sebelum kemerdekaan Malaysia pada 1957 menerusi pertukaran perdagangan dan ketibaan rakyat Malaysia ke Saudi untuk menunaikan haji dan umrah.

Hubungan itu, katanya, menjadi lebih kukuh selepas Malaysia merdeka, dan membentuk hubungan diplomatik yang mendalam antara kedua-dua negara.

"Ini mencerminkan hubungan kukuh antara rakyat Saudi dan Malaysia, dan pelbagai ciri dan nilai bersama yang dikongsi oleh kedua-dua negara. Paling penting ialah kepercayaan terhadap agama Islam dan kesungguhan kedua-dua negara dan rakyatnya dalam melaksanakan ajaran Islam berdasarkan prinsip kesederhanaan, toleransi dan menolak keganasan dan terorisme," katanya lagi.

Mengenai bidang kerjasama semasa, beliau berkata ini meliputi bidang ekonomi, komersial, pelaburan, kebudayaan dan pelancongan, dan menegaskan bahawa walaupun tahap kerjasama dalam bidang ini adalah baik, ia belum mencapai tahap yang mencerminkan keupayaan yang ada di kedua-dua negara.

Qattan berkata sebagai sebuah negara dengan hutan hujan tropika, Malaysia boleh menyumbang dan menawarkan pengalamannya dalam bidang itu. Kedua-dua negara mungkin boleh bekerjasama dan berkongsi pengalaman dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen hijau, serta keselamatan makanan.

"Malaysia juga boleh bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi untuk menyumbang kepada projek dan inisiatif Wawasan Kerajaan 2030, seperti inisiatif oleh Putera Mahkota iaitu "Green Saudi Arabia" dan "Green Middle East" yang bertujuan untuk meningkatkan tumbuhan hijau, mengurangkan pelepasan gas karbon, memerangi pencemaran, membangunkan tanah dan hidupan liar dan hidupan marin dengan menanam 10 bilion pokok di negara itu serta menanam 40 bilion pokok di Asia Barat," katanya.

Qattan juga menjelaskan bahawa kemajuan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara dalam dua tahun kebelakangan ini telah terjejas akibat pandemik COVID-19.

Jumlah dagangan dua hala antara Saudi dan Malaysia pada 2019 berjumlah kira-kira AS$4.3 bilion manakala pada 2020 adalah kira-kira AS$3.8 bilion.

"Bagaimanapun, dengan keadaan yang kembali normal selepas langkah sekatan COVID-19 dilonggarkan, jumlah perdagangan dua hala melonjak 104 peratus pada separuh pertama 2022, berbanding tempoh yang sama pada 2021, dengan jumlah dagangan AS$3.6 bilion," katanya lagi.

Duta itu juga menekankan bahawa Malaysia telah membuka pejabat serantau di Jeddah, untuk perdagangan minyak sawit, getah dan kayu Malaysia, dan pejabat itu telah mula menunjukkan hasil yang positif.

"Justeru, saya optimis dengan kemajuan jumlah perdagangan dalam pelbagai sektor, dengan melihat kepada kapasiti dan keupayaan kedua-dua negara," katanya.

-- BERNAMA