MCA diminta mengetuai semua parti berasaskan kaum Cina dalam Barisan Nasional (BN) untuk berjumpa dengan Perdana Menteri bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan hukum hudud di negara ini, kata bekas presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Kata beliau, pertemuan itu penting untuk memastikan BN memahami pendirian parti-parti kaum Cina itu.

"Isu ini mesti dibangkitkan oleh MCA dalam Majlis Tertinggi BN," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Parti-parti berasaskan kaum Cina dalam BN terdiri daripada MCA, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) di Sabah.

Soi Lek berpendapat MCA tidak lagi boleh bergantung hanya dengan mengeluarkan kenyataan bantahan sebaliknya mesti menyatakan pendirian yang tegas mengenai apa yang ia rasakan tentang undang-undang jenayah syariah itu.

"Malangnya, kepimpinan parti kita (MCA) tidak berani bersemuka dengan UMNO kerana mereka terlalu takut akan hilang sokongan UMNO di kawasan mereka yang kemudiannya akan memberi kesan kepada kerjaya politik mereka," katanya.

Tambah beliau, inilah masalahnya untuk MCA menunjukkan bahawa ia sebuah parti yang berbeza dengan DAP dalam soal penentangan terhadap hudud.

Menurut Soi Lek, menjelang pilihan raya umum yang lalu, hanya bekas Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong (sekarang Timbalan Presiden) yang sedia menjelaskan kepada masyarakat Cina mengenai kesan hudud.

Tambah Soi Lek, pemimpin MCA yang lain termasuk bekas timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang sekarang Presiden MCA, ketika itu, mengelak daripada menyentuh isu tersebut "kerana takut kehilangan undi daripada pengundi Melayu".

Soi Lek mengingatkan bahawa oleh sebab faktor agama, sesetengah ahli parlimen UMNO akan menyokong rang undang-undang persendirian yang akan dikemukakan oleh PAS di Dewan Rakyat untuk membolehkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Beliau menarik perhatian kepada kedudukan kerusi di Dewan Rakyat sekarang dengan 21 ahli parlimen PAS dan 88 ahli parlimen UMNO. Dengan jumlah 109 ahli parlimen daripada kedua-dua parti orang Melayu itu, rang undang-undang berkenaan hanya kurang tiga sokongan untuk lulus dengan majoriti mudah 112 undi.

Beliau bertanya apakah pendirian ahli parlimen beragama Islam dalam DAP dan Parti Keadilan Rakyat berhubung perancangan kerajaan negeri Kelantan itu.

"Adakah mereka akan membantah pelaksanaan hudud? Sekiranya mereka tidak berani membantah, rang undang-undang itu akan diluluskan di Parlimen," katanya.

Kerajaan negeri Kelantan merancang untuk mengemukakan dua rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membuka jalan kepada pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan seawal-awalnya tahun depan.

Rang undang-undang itu dijangka dikemukakan pada sidang Dewan Rakyat pada Jun ini.

Langkah kerajaan negeri Kelantan itu sebagai menyahut keterbukaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa kerajaan Persekutuan sedia menyokong mana-mana negeri yang mahu melaksanakan hudud.

Rancangan kerajaan Kelantan itu bagaimanapun dibantah keras oleh DAP, rakan sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat.