Hujan berterusan beberapa hari tingkatkan risiko tanah runtuh - Pakar

Astro Awani
Mac 11, 2022 09:02 MYT
Menurut Edy Tonnizam, pencetus kepada insiden di Ampang itu adalah disebabkan cerun yang tinggi dan tanah yang longgar kerana hujan selama beberapa hari. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hujan berterusan selama beberapa hari walaupun hanya satu atau dua jam sehari meningkatkan risiko berlakunya tanah runtuh.
Pengarah Pusat Geokejuruteraan Tropika (GeoTropik), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Edy Tonnizam Mohamad, risikonya lebih tinggi berbanding hujan lebat yang lama namun hanya berlaku sehari.
Jelasnya, itu antara dapatan kajian yang dilakukan sebelum ini dan bagi insiden di Taman Bukit Permai, Ampang pada petang Khamis, beliau berpendapat hujan berterusan selama empat hari merupakan punca tragedi itu berlaku.
BACA: Tanah runtuh Bukit Permai: Polis keluarkan identiti mangsa
BACA: Mangsa tanah runtuh kontraktor lantikan, bukan warga kerja air Selangor
Tambahnya, pencetus kepada insiden itu adalah disebabkan cerun yang tinggi dan tanah yang longgar.
“Kita perlu memberikan zon penampan, mesti jauh dari lokasi runtuhan dan saya fikir dalam kes ini adalah lebih baik dalam 200 meter daripada kaki bukit bagi bukit-bukit yang tinggi.
“Tapi banyak juga kita nampak perumahan lama yang pada satu ketika dahulu tidak mempunyai peraturan, pewartaan berkaitan pembangunan di kaki bukit.
Tanah Runtuh Ampang | Penduduk di 48 buah rumah diarah berpindah sementara
“Jadi, untuk rumah berdekatan kaki bukit, yang hampir sangat, kawasan itu adalah kawasan yang harus berwaspada terutama sekali apabila hujan beberapa hari di kawasan tersebut.
“Jadi perlulah penduduk di kawasan berdekatan dengan bukit, tak kiralah di Bukit Permai, Bukit Antarabangsa tapi di seluruh Malaysia, mereka harus berwaspada apabila berlakunya hujan sebegitu,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Jumaat.
Tambah beliau, bencana sebegitu sudah banyak kali berlaku di Malaysia dan setiap kali terjadi, pasti pihak berkaitan akan membuat pelbagai kajian.
Begitupun, Edy Tonnizam berpendapat ramai sudah memahami dan kenal pasti punca serta masalahnya namun yang perlu diberi perhatian kini adalah cara untuk mencegahnya daripada berlaku termasuk insiden besar seperti di Ampang itu.
Tanah Runtuh Ampang | Bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang maut
Astro AWANI sebelum ini melaporkan polis mengeluarkan identiti empat mangsa yang terkorban dan seorang yang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini, semalam.
Mereka yang maut ialah A. Mahendra, 36; E. Ramasamy, 58; Mohd Saifullah Ridzuan Ishak, 34; dan Chong Siew Kim, 85; manakala yang cedera ialah Cheng Kim Cheng, 85.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata semua mayat dihantar ke Hospital Ampang dan ahli keluarga telah melakukan pengecaman.
#Ampang Jaya #tanah runtuh #Bukit Permai #hujan lebat #hujan berterusan #GeoTropik #Prof Dr Edy Tonnizam Mohamad