IPOH: Sekurang-kurangnya tiga buah kereta dan sebuah motosikal rosak apabila hampir 10 batang pokok tumbang di sekitar Bercham, Ipoh dalam kejadian hujan ribut, petang semalam.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu.

Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Albert Ho Wai Mun berkata, terdapat sebuah kereta yang rosak teruk selepas dihempap sebatang pokok yang tumbang.

Menurutnya, terdapat juga sebatang pokok tumbang tetapi hanya melibatkan sebuah rumah di Kampung Tersusun Tasek.


“Bagaimanapun, pokok yang tumbang itu berada dalam kawasan persendirian dan MBI membantu membersihkannya sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, selain MBI, kerja-kerja pembersihan kawasan pokok tumbang itu juga dibantu oleh anggota bomba dan sukarelawan.

Katanya, pihak MBI masih membuat pemantauan dan penilaian kerosakan.