BEIRUT: Pejuang Hizbullah pada Rabu melancarkan kira-kira 30 roket dari Lubnan ke kawasan utara Israel selepas gerakan disokong Iran itu berikrar untuk 'menghukum' rejim Zionis.

Serangan balas itu dilakukan selepas Israel membedil selatan Beirut yang turut meragut 16 nyawa termasuk lapan anggota mereka.

Hujan roket menyasarkan Kiryat Shmona itu sebagai respons terhadap pembunuhan beramai-ramai yang didalangi musuh mereka di perkampungan Habariyeh.

Menurut jurucakapnya, serangan tersebut turut memusnahkan pusat bantuan dan kecemasan untuk Jamaa Islamiya, sebuah kumpulan sunni yang mempunyai kaitan dengan pejuang Hamas.

Persatuan Ambulans Lubnan dalam satu kenyataan menyifatkan konfrontasi terbaharu itu sebagai pelanggaran jelas terhadap usaha kemanusiaan.

Kementerian Kesihatan di Beirut turut mengutuk serangan udara dilancarkan rejim Zionis di tengah-tengah perang yang semakin ganas di Genting Gaza.

“Ia sememangnya tidak boleh diterima dan melanggar norma serta undang-undang antarabangsa terutamanya Konvensyen Geneva yang menekankan keneutralan terhadap kakitangan perubatan dan pusat kesihatan,” ujar kementerian itu.

Difahamkan, ia bukanlah kali pertama kemudahan kesihatan dibedil ketika konfrontasi berterusan di sempadan.

Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati 316 kematian termasuk 54 orang awam direkodkan di Lubnan sejak konflik rentas sempadan itu bermula pada Oktober lalu.

Pada bulan lalu, pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah memberi amaran Israel bakal berdepan akibat dahsyat jika membunuh orang awam di Beirut yang menandakan krisis itu berisiko menjadi lebih buruk. - Agensi

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian