KUCHING: Jasad mendiang mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laskar Kanan 1 Joanna Felicia Rohna selamat tiba di Pangkalan Udara Kuching sekitar jam 11.54 malam Rabu menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh itu berlepas pada jam 9.18 malam Rabu selepas tertunda beberapa kali berikutan cuaca buruk.

Jasad mendiang yang tiba dalam suasana rintis syahdu hujan disambut dengan istiadat ketenteraan oleh 27 pegawai dan 80 lain-lain anggota daripada Divisyen Pertama Infantri Tentera Darat Malaysia yang berpangkalan di Kem Muara Tuang.

Jasad Joanna kemudian diletakkan dalam kenderaan khas, yang turut menempatkan suami dan dua anaknya sebelum dibawa secara konvoi tentera ke kampung suaminya di Kampung Engkaroh Tebakang, Serian kira-kira 90 kilometer dari sini untuk penghormatan terakhir sebelum disemadikan. 

Majlis persemadian Joanna dijadualkan pada jam 9 pagi Khamis di sebuah tanah perkuburan Kristian di Serian dan dilaksanakan mengikut tradisi TLDM bagi wirawati yang gugur ketika bertugas.

Joanna merupakan salah seorang daripada 10 mangsa insiden nahas helikopter TLDM yang terkorban serta-merta semasa raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 pada pagi Selasa lalu.

Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu melibatkan dua helikopter iaitu pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang  bertembung di udara dengan pesawat Fennec dinaiki tiga kru sebelum terhempas di dalam Pangkalan TLDM Lumut.

Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu telah dibatalkan dan akan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat untuk mangsa terlibat nahas berkenaan.